Selasa, 20 Jun 2017

Sabah Tuntut Tindakan Tegas Gesaan Haramkan Evangelikalisme

Gesaan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat  Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia
(Centhra) Azril Mohd Amin undang-undang  mengharamkan  evangekalisme Kristian 
di Malaysia mengundang rasa kurang senang pemimpin Kristian. - FotoYouTube

PEMIMPIN gabungan Islam yang menggesa undang-undang mengharamkan evangelisme Kristian di Malaysia perlu ditangani dengan tegas kerana mengancam keharmonian agama yang serius di negara ini, kata pemimpin Sabah dan Majlis Gereja negeri.

Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, Dr Maximus Ongkili, berkata rakyat Sabah menghayati keamanan dan keharmonian agama sedia ada yang mereka nikmati sejak pembentukan Malaysia, sambil menambah tindakan tegas harus diambil terhadap kumpulan yang menyeru mengharamkan evangekalisme Kristian, kerana ia boleh membawa kepada salah faham agama dan ketegangan.

Presiden SCC Bishop Melter Jiki Tais menegaskan walaupun agama Islam adalah agama Persekutuan, setiap orang berhak menganut dan mengamalkan agama tidak pernah dikecualikan, tetapi dijamin berdasarkan Pasal 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Kenyataan itu mungkin menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan permusuhan, kebencian atau keganasan di kalangan rakyat Malaysia yang penuh kasih sayang, dan oleh itu tindakan perlu diambil sebagai penghalang kepada orang lain daripada membuat kenyataan serupa terhadap agama Kristian," kata Tais.

Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, Dr. Maximus Ongkili (kiri),
dan Presiden Majlis Gereja Sabah, Bishop Melter Jiki Tais (kanan)

Ongkili dan Tais menentang pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin, yang dalam satu artikel yang diterbitkan  Utusan Malaysia minggu lalu, menggesa undang-undang mengharamkan evangekalisme Kristian di Malaysia.


Dalam artikelnya, Azril berkata, evangekalisme adalah "pergerakan berbahaya" yang mesti dibendung kerana ia mengancam keharmonian agama di Malaysia.

"Azril perlu dibicarakan di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan kerana kenyataannya yang mempersoalkan perkara itu," kata Tais.

Bagi Sabah, perkara 1 daripada 20 perkara dalam Perjanjian Malaysia secara khusus menyatakan tidak ada agama bagi negeri untuk Borneo Utara (Sabah).

"Atas dasar dan semangat ini Sabah bergabung dalam pembentukan Persekutuan Malaysia. Semangat harmoni keagamaan ini menjadi sebahagian daripada sejarah bersama negara kita yang mesti dihormati, dikekalkan dan dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak," katanya.

Tais berkata evangelikalisme Kristian bukan sekadar definisi intelektual tetapi ungkapan praktikal cintakan Tuhan, dan kepercayaan Kristian yang memberi sumbangan sangat besar kepada pembangunan negara, dan mempromosikan keamanan serta keharmonian di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata kepercayaan Kristian itu berpusat pada hubungan peribadi antara manusia dan Tuhan dan gereja membuktikan sejak sekian lama sebelum pembentukan Malaysia.

Tais berkata, gereja melalui institusinya membawa pendidikan yang berkualiti untuk semua kaum, tanpa mengira kepercayaan dan warna mereka dan banyak pelajarnya berjaya menjadi profesional, termasuk pemimpin dan pada masa yang sama, terlibat dalam kebajikan sosial untuk semua rakyat Malaysia.

Ongkili, yang juga ahli Parlimen Kota Marudu, berkata keadaan keharmonian hari ini dicapai melalui penghormatan terhadap perlembagaan persekutuan dan amalan kesederhanaan dan toleransi terhadap agama masing-masing.

"Tiada kumpulan, terutama golongan agama, boleh membuat tindakan sendiri. Sekiranya ini berlaku, ia hanya akan membawa kepada salah faham dan ketegangan agama, sehingga mengakibatkan ketidakstabilan di negara ini."

Seruan Azril untuk mengharamkan evangelikalisme dilakukan selepas kemarahan kumpulan Islam terhadap perhimpunan "Jubli Yerusalem", pertemuan penganut Kristian yang sepatutnya diadakan di Melaka pada awal bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi menggesa polis mengharamkan acara itu kerana dianggap tidak sensitif untuk mengadakannya pada bulan Ramadan.

Bagaimanapun, pihak gereja di Sabah berjaya meneruskan acara yang sama, "Borneo revival healing rally" yang diadakan di Telupid, Sandakan, Ranau dan Keningau.

Sarawak, yang sebelum ini membatalkan acara itu selepas larangan di Melaka, kini akan meneruskan perhimpunan Borneo di negeri itu pada akhir bulan ini. – 20 Jun, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk "Sabah Tuntut Tindakan Tegas Gesaan Haramkan Evangelikalisme" yang ditulis oleh Jason Santos bertarikh 20 Jun 2017)