Imam dan pastor pada majlis makan malam Hari Raya di Pulau Pinang semalam yang dianjurkan kumpulan Islam dan bukan Islam demi keharmornian agama - Foto The Malaysian Insight |
KIRA-KIRA 70 imam dan pastor Kristian bertemu pada makan malam sempena sambutan Hari Raya di sebuah hotel Pulau Pinang semalam.
Mereka duduk, makan, berbual, bergurau, ketawa serta menjawab kuiz mengenai Islam dan Kristian. Ada juga yang bertemu rakan baru di acara anjuran Global Unity Network (Unity), Gerakan Kristian untuk Perdamaian dan Harmoni di Malaysia (CPHM) dan Persatuan Penyebaran Islam Antarabangsa (Ipsi).
Ia adalah kali pertama penganjur mengadakan perhimpunan itu di luar Kuala Lumpur, di mana Unity dan CPHM berpangkalan.
Tujuan utamanya untuk mengumpulkan para imam dan pastor agar mengenali satu sama lain – sebagai satu langkah ke arah membetulkan salah faham dan prasangka antara umat Islam dan bukan Islam, kata Presiden Unity Shah Kirit Kakulal Govindji.
Beliau berkata tiada rahsia lagi komuniti berbeza itu bercakap negatif dan buruk terhadap agama masing-masing, terutama di platform media sosial di mana penyebaran berita buruk lebih cepat berbanding yang baik.
"Ramai mahu menjadi popular dan mendapat banyak 'like', berkongsi, dan pandangan. Cara mudah mendapatkannya adalah menghantar sesuatu yang bodoh dan sensasi dalam talian. Tetapi adakah itu menjadikan seseorang itu Islam atau Kristian yang baik?
"Kami juga menganggap pemimpin agama secara umumnya baik-baik saja, tetapi ada yang berfikiran negatif, salah faham dan prasangka terhadap agama lain. Sesetengah imam risau apabila anda menyuruh mereka menghadiri acara dengan paderi Kristian. Sesetengah padera juga berasa perasaan yang sama, " katanya.
Shah Kirit berkata apabila orang Islam dan bukan Islam berfikir buruk antara satu sama lain, ia berbahaya.
"Apabila anda meletakkan mereka bersama, mereka akan menyedari orang lain juga adalah manusia. Pengalaman positif mereka daripada penglibatan ini akan membantu mereka melakukan sesuatu dalam membetulkan salah faham serta prasangka dalam komuniti masing-masing.
"Jika Shah Kirit bercakap, tidak ramai orang Islam akan mendengar. Tetapi apabila imam bercakap, ramai akan mendengar, " katanya.
Terdahulu, Shah Kirit memberitahu para tetamu akan sentiasa ada konflik tetapi persefahaman yang lebih baik akan membantu mengawal ketegangan.
"Semua agama mengajar kita berbuat baik. Kita berkongsi banyak persamaan dengan cara itu, walaupun kita mempunyai perbezaan doktrin. Kita harus bekerja dengan persamaan yang dimiliki dan bersetuju untuk tidak bersetuju secara penuh hormat."
Selain mengadakan acara seperti itu, Unity juga menyediakan latihan untuk orang yang berminat mempelajari asas Islam dan agama lain, memberi mereka kelas dan membawa melawat rumah ibadat untuk lebih memahami serta tidak salah menafsir agama lain.
"Lawatan itu membolehkan mereka membandingkan apa yang Unity ajar dan bagaimana agama lain yang sebenar. Program latihan kami berjaya, setelah mengajar ribuan setakat ini.
"Orang ramai mendengarnya melalui mulut ke mulut," kata Shah Kirit, yang juga memberi kursus mengenai Islam kepada paderi Kristian.
"Saya pernah dijemput memberi kursus di seminari Katolik di Pulau Pinang. Saya tidur di seminari dan makan bersama paderi. "
Presiden CPHM Rev Wong Kim Kong, yang juga hadir, berkata organisasinya menganjurkan dua acara nasional yang besar dilancarkan perdana menteri, dan majlis akar umbi kecil seperti malam tadi untuk mempromosikan keamanan dan keharmonian.
"Ia sengaja diadakan agar perhimpunan ini bersaiz kecil supaya semua orang boleh terlibat dalam dialog. Kita semua perlu memulakan dengan kecil bagi sesuatu yang baru, untuk memastikan ia mampu menular.
"Perdamaian dan keharmonian bukan sesuatu yang boleh kita capai sendiri. Kami hanya pemangkin yang merangsang kesedaran."
Wong berkata beliau berharap para imam dan pastor akan merasai kewujudan bersama dalam komuniti, penerimaan agama dan ras antara satu sama lain, mengenali perbezaan kepercayaan masing-masing.
"Dalam dunia keagamaan, hanya Kristian dan Islam yang menyebarkan. Walaupun berkongsi agama, kita mesti menghormati satu sama lain.
"Kita tidak boleh menghentikan satu sama lain daripada mengamalkan agama. Sebagai seorang Kristian yang baik, saya mesti terus berkongsi berita baik.
"Tetapi kita dapat mengukuhkan nilai bersama kita berbanding memberi tumpuan kepada perbezaan kita."
Antara yang hadir malam tadi adalah beberapa wakil daripada Pemuda PAS Pulau Pinang, termasuk ahli exconya, Mohammad Zabidi, yang memuji majlis itu.
"Saya berharap kita juga boleh mempunyai ahli politik menyertai acara tersebut," katanya sambil menambah beliau menyedari persepsi orang ramai tentang partinya.
"Orang mungkin berfikir kita sangat politik, tetapi politik hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang dilakukan PAS kerana kebanyakan masa kita terlibat dalam kerja amal dan menyebarkan Islam serta keamanan. Baru-baru ini, kami berada di Gereja St Anne Bukit Mertajam untuk program," katanya.
Majlis makan malam berakhir dengan kuiz di mana umat Islam menjawab soalan mengenai Kristian dan Kristian terhadap Islam. Peserta tertawa sepanjang kebanyakan kuiz, terutama ketika seseorang bertanya dengan kuat jika pemenang memeriksa Google untuk mendapatkan jawapan. – 10 Julai, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Imam, Pastor Berkumpul Untuk Hapuskan Jurang Agama" yang ditulis oleh Looi Sue-Chern bertarikh 10 Julai 2017)