Jumaat, 25 Ogos 2017

Peguam Sabah Memenangi Kes Mahkamah Terhadap Hadi Awang


Seorang peguam Sabah telah memenangi kes mahkamah menentang presiden PAS Abdul Hadi Awang berkenaan kenyataan-kenyataan negatif Hadi terhadap agama Kristian. 

Marcel Jude Joseph, 54, telah menamakan Hadi sebagai defenden dalam saman yang telah difailkan pada 25 Januari tahun ini.

Mahkamah Sesyen pada 12 Ogos mengarahkan Abdul Hadi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang untuk membayar peguam, Marcel Jude Joseph, ganti rugi kerana mencampuri hak Perlembagaan plaintif untuk kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Marcel memohon penghakiman memandangkan Abdul Hadi tidak hadir ke mahkamah dan mahkamah kemudiannya mengeluarkan surat ketidakhadiran oleh defendan.

Saman daripada peguam Marcel diberikan kepada Abdul Hadi pada 19 Julai.

Marcel yang merupakan ahli Majlis Peguam Sabah dan menjadi anggota Sabah Catholic Lawyers Apostolate memfailkan saman terhadap Abdul Hadi kerana kenyataannya yang didakwa sebagai menyalahi undang-undang dan hak perlembagaan plaintif untuk kebebasan beragama.

Saman itu berdasarkan artikel yang diterbitkan semula oleh portal Free Malaysia Today daripada artikel asal di Harakah bertajuk "Kristian ditolak oleh mereka yang berpendidikan, kata Hadi" yang memetik pemimpin PAS itu.

Marcel mendakwa defendan membuat kenyataan memfitnah pada perenggan pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam dalam artikel berkenaan.

Kenyataan-kenyataan tersebut telah dibuat dengan tujuan memberi kesimpulan yang negatif dan palsu terhadap plaintif dan imannya dan kepercayaan agamanya, begitu kata Marcel dalam samannya. 

Sementara itu peguam, Hamid Ismail yang mewakili Abdul Hadi berkata Hadi akan menfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu. 

(Sumber: Artikel Malaysiakini bertarikh 18 Ogos 2017 dan 19 Ogos 2017)