Sabtu, 26 Ogos 2017

Menjelang Merdeka, Gereja Berdoa Untuk Kebebasan Pastor-Pastor dan Aktivis-Aktivis


KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Synod (Majlis) Diosis Anglikan Malaysia Barat menyuarakan kebimbangannya hari ini bahawa Pastor Raymond Koh masih kehilangan tanpa ada perkembangan yang positif.

Gereja itu menambah bahawa 31 Ogos akan menandakan hari ke-200 kehilangan Koh. Ianya menyeru kepada orang-orang awam agar bukan hanya mengingati Koh, tetapi juga tiga orang lagi yang telah kehilangan pada tempoh masa yang hampir sama - Pastor Joshua Hilmi, isterinya Ruth, aktivis Muslim Amri Che Mat - dan berdoa untuk "kemerdekaan" mereka sambil negara merayakan Merdeka.

"Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang mencintai keamanan untuk mengingati Raymond, Amri, Joshua dan Ruth dalam ingatan dan doa-doa mereka, dan sambil kita merayakan ulangtahun ke-60 Merdeka pada 31 Ogos 2017, agar "kemerdekaan" mereka sendiri daripada penahanan akan menyusul tidak lama lagi," kata Bishop Besar Datuk Ng Moon Hing dalam satu kenyataan.  

Gereja Anglikan mengatakan bahawa masih terdapat banyak soalan yang tidak terjawab mengenai siapa yang telah menculik Koh, sebab-sebab di sebaliknya, dan apakah yang telah terjadi kepadanya sejak itu.

"Kami berdoa untuk mereka yang terlibat dalam menyiasat dan mencari Pastor Raymond Koh. Kami memohon Tuhan memberi bimbingan kepada mereka sambil mereka melaksanakan tugas mereka dengan tekun dan profesional, dan memimpin mereka sehingga dapat menemukan dan mengembalikannya dalam keadaan selamat.

"Kami berdoa untuk mereka yang telah menculiknya, agar mereka melayani Pastor Raymond Koh dengan hormat dan tertib. Dan semoga Tuhan akan menggerakkan hati mereka untuk mengembalikannya ke pangkuan keluarganya," kata Bishop Diosis Anglikan Malaysia Barat dan Bishop Besar Wilayah Anglikan Asia Tenggara.

Satu gabungan NGO yang dinamakan Citizen Action Group On Enforced Disappearance telah mendakwa bahawa kehilangan keempat orang itu adalah penculikan oleh ejen-ejen kerajaan, satu dakwaan yang sebahagian besarnya berdasarkan hakikat ketiadaan tuntutan untuk wang tebusan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia telah sejak itu melancarkan siasatannya sendiri atas dakwaan "penculikan yang dikuatkuasa" itu, sementara polis mendakwa bulan lepas bahawa sindiket pemerdagangan manusia yang mempunyai kaitan dengan kumpulan-kumpulan di Selatan Thai mungkin telah terlibat dalam penculikan Koh.