Rabu, 8 November 2017

"Nasihat" Kementrian Dalam Negeri Kepada Gereja Tidak Patut, Kata Bumburing


KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) hari ini mengkritik insiden baru-baru ini di mana pegawai-pegawai dari Kementerian Dalam Negeri didakwa telah memberitahu pegawai-pegawai sebuah gereja bagaimana untuk membuat rekabentuk (design) sebuah buku yang dimaksudkan untuk jemaatnya. 

Presiden PCS, Wilfred Mojilip Bumburing berkata empat pegawai itu bukan sahaja memeriksa buku-buku denominasi yang diterbitkan oleh gereja itu untuk digunakan dalam kebaktian-kebaktian gereja, tetapi juga telah memberi arahan kepada pegawai-pegawai gereja mengenai hal-hal lain.

Dia tidak menamakan gereja itu.

"Saya telah diberitahu bahawa pegawai-pegawai itu telah memberitahu pegawai-pegawai gereja untuk tidak menggunakan empat istilah, iaitu Allah, Baitullah, Kaabah dan Sholat. 

"Tambahan lagi, mereka menasihati pegawai-pegawai gereja bagaimana untuk merekabentuk (design) sebuah buku pengajaran Kristian dan apakah saiz huruf untuk digunakan pada kulit buku yang direkabentuk itu," katanya. 

Bumburing memberitahu Free Malaysia Today bahawa buku itu telah pertama kali dicetak pada tahun 2000, tetapi pembaharuan permit tidak diperlukan di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan yang telah dipinda, walaupun gereja masih perlu menyatakan nombor permit terakhir yang telah diberikan pada 2013. 

Buku yang mempunyai 160 mukasurat itu, dengan 55,000 perkataan tidak menggunakan kata-kata Baitullah, Kaabah dan Sholat walaupun ada satu atau dua tempat di mana mereka telah terlepas pandang untuk mengedit kata "Allah" dan menggantikannya dengan "Tuhan", yang telah diperhatikan oleh pegawai-pegawai kementrian itu, katanya. 

Bumburing yang juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri untuk Tamparuli, berkata bahawa pegawai-pegawai gereja sebenarnya tidak ingin memperbesarkan perkara itu dan berniat untuk mengikuti saja arahan kementrian itu.  

"Saya telah diberitahu bahawa kementrian telah melawat pejabat itu sebelum ini untuk pemeriksaan rutin, tetapi ini adalah kali pertama gereja itu diberitahu mengenai rekebentuk kulit buku dan saiz huruf untuk digunakan," katanya.

Kontroversi kalimah Allah, yang telah bermula pada 2009 selepas kementrian dalam negeri mengharamkan penggunaan kalimah itu untuk majalah The Herald milik Gereja Katolik, telah menimbulkan persoalan asas samada kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan benar-benar wujud.

Majoriti orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Allah dalam kebaktian Bahasa Malaysia mereka. Alkitab mereka, yang kebanyakannya diimport daripada Indonesia, juga menggunakan kalimah itu secara meluas.

Kerajaan, dalam usaha menyenangkan orang-orang Kristian di sini, telah mengatakan bahawa larangan ke atas kalimah Allah tidak akan diapplikasikan di Sabah dan Sarawak.

Bumburing berkata bahawa walaupun insiden itu kelihatan kes yang terpencil, ianya tidak harus dibenarkan terjadi di Sabah.

"PCS akan menentang sebarang langkah daripada mana-mana agensi kerajaan dan badan-badan lain yang ingin mengarahkan bagaimana sebuah gereja Kristian harus mengendalikan fungsi pentadbirannya.

"Berdasarkan semangat Batu Sumpah, PCS akan memastikan bahawa Sabah akan terus menikmati kebebasan beragama dan kekal sebagai negara sekular seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963," katanya.

Dia juga berkata bahawa tidak ada keperluan untuk agama seorang penduduk dinyatakan di MyKad mereka dan berkata bahawa amalan ini harus dihentikan.

Ini adalah kerana, katanya, ramai orang di Sabah yang mempunyai nama yang kedengaran seperti Muslim atau mempunyai "Bin" atau "Binti" dalam nama mereka akan diberikan MyKad dengan Islam dinyatakan sebagai agama mereka oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Untuk memperbetulkan kesilapan itu, penduduk-penduduk ini, biasanya dari kawasan luar bandar, akan disuruh pergi dan balik berulangkali ke Jabatan Hal Ehwal Islam, dan sehingga ke mahkamah syariah untuk mengisytiharkan bahawa mereka bukan Muslim.

(Diterjemah daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Home Ministry's 'Advice' To Church Is Out Of Line, Says Bumburing" yang ditulis oleh Tracy Patrick bertarikh 7 November 2017)