SEORANG Biskop Roman Katolik diganggu oleh sekumpulan pemuda
Islam yang tidak mampu mengawal perasaan yang melaungkan “Allahu Akbar” ketika
beliau keluar daripada sebuah pendengaran kes di Mahkamah Kuching hari ini.
Mahkamah itu hari ini mengetepikan rayuan tiga mualaf dan
seorang wanita Melayu Islam yang mahu kes tukar agama mereka
didengar di mahkamah sivil kerana mendakwa Mahkamah Syariah Kuching tidak
mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan murtad itu.
Ketua Polis Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai menyifatkan
gangguan verbal kepada Biskop Simon Peter Poh daripada pemuda di luar
perkarangan mahkamah itu sebagai “kejadian kecil”.
Abang Ahmad mengatakan pemuda itu “terbawa-bawa emosi” dan
tindakan mereka menunjukkan mereka tidak memahami isu yang dibicarakan.
“Semuanya terkawal. Biskop itu sebenarnya dilindungi oleh
sekumpulan pemuda Islam lain dan diiringi ke keretanya,” kata Abang Ahmad
kepada The Malaysia Insight.
Poh tidak cedera tetapi masih terganggu dalam kejadian itu.
Sebuah video yang kini tersebar menunjukkan Poh sedang berjalan
sendiri melintasi sekumpulan pemuda Islam yang berkumpul di mahkamah di Petra
Jaya itu.
Apabila gangguan itu bermula, sekumpulan pemuda Islam lain
serta merta membentuk kepungan mengelilingi biskop itu dan melindunginya.
Tiada tangkapan dibuat.
Polis menjangkakan hampir 400 orang hadir ke mahkamah. – 27
Februari, 2018.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Biskop Diganggu Tetapi Dilindungi Pemuda Islam Di Kuching" yang ditulis oleh Desmond Davidson bertarikh 27 Februari 2018)