Selasa, 27 Februari 2018

Biskop Besar Berseru Agar Mempunyai Pemahaman Yang Baik Berkenaan Keputusan Mahkamah Persekutuan

Biskop Besar Simon Poh

KUCHING: Biskop Besar Roman Katolik Kuching, Most Reverend Simon Poh mengingatkan orang-orang Kristian bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan kes-kes murtad itu bukanlah sesuatu perkara di mana Gereja bertanding dengan Islam dan berseru untuk pemahaman yang baik berkenaan kes itu.

"Kes ini bukanlah Gereja bertanding dengan Islam tetapi mengenai persoalan siapa yang memiliki bidang kuasa untuk membenarkan seorang Muslim keluar agamanya, samada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil.

"Oleh kerana kita mempunyai Mahkamah Syariah untuk mentadbir orang-orang Muslim, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membenarkan orang-orang Muslim meninggalkan Islam menurut Undang-Undang. 

"Oleh itu kita tidak kalah dalam kes ini atau menang dalamnya," Poh berkata dalam satu mesej kepada orang-orang Kristian hari ini. 

Mahkamah Persekutuan, semasa menolak rayuan oleh tiga mualaf dan seorang Muslim dari lahir untuk kes murtad mereka didengar di Mahkamah Sivil, telah menyatakan bahawa Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan murtad. 

Poh meneruskan dengan berkata, "Apa yang penting sekarang dengan ini, ianya adalah jelas, ke manakah kita ingin tuju selepas ini. Mahkamah, samada Syariah atau Sivil, hanyalah mengaplikasikan undang-undang."
  
"Dengan itu, seterusnya kita harus berdoa agar penggubal-penggubal undang-undang akan mengusulkan suatu undang-undang yang adil untuk menghadapi isu ini. Jangan putus asa. Saya menghadiri pendengaran di mahkamah semalam dan saya boleh saksikan bahawa para hakim sangat berkecuali dan adil. Berdoalah, teruskan berdoa. Dengan Tuhan, tidak ada yang mustahil."

Kepada mereka yang bimbang akan keselamatannya berikutan video "gangguan di mahkamah" pagi ini yang telah menjadi tular, Poh memberikan keyakinan bahawa dia dalam keadaan yang baik. 

"Ada gangguan di mahkamah dan orang ramai menjadi riuh selepas keputusan penghakiman. Ramai orang Muslim yang baik telah mengiringi saya dengan selamat keluar dari bangunan Mahkamah, termasuk Puan Zabariah Matali, seorang kawan peribadi yang juga adalah ketua eksekutif urusan Pusat Informasi Islam."

Dia menegaskan bahawa sekumpulan Muslim dan orang-orang lain yang telah mengiringinya dengan selamat ke keretanya di sebelah jalan raya.


(Diterjemahkan daripada artikel Borneo Post bertajuk, "Archbishop Calls For Careful Understanding Of Federal Court's Decision" bertarikh 27 Februari 2018)