"Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak akan digunakan di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak" - Perkara 1, Perjanjian Malaysia 1963
MAHKAMAH Persekutuan seharusnya merujuk kepada Perjanjian
Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Malaysia sebelum menolak kes penukaran
agama ke mahkamah syariah, kata Persatuan Gereja Sarawak (ACS).
Pengerusi ACS, Reverend Justin Wan berkata Mahkamah
Persekutuan tidak harus campur tangan kerana menurut MA63, Sarawak bebas untuk
mempraktikkan agama.
"Islam adalah agama rasmi Malaysia tetapi Sabah dan
Sarawak bebas untuk mempraktik kepercayaan agama kami. Ia salah satu daripada
Perjanjian 18 Perkara.
"Jadi, isu ini tidak sepatutnya diputuskan oleh
Mahkamah Persekutuan.
"Selama ini mahkamah sivil telah menyatakan mereka
(mahkamah syariah) tiada bidang kuasa ke atas kes-kes murtad, dan sekarang
Mahkamah Persekutuan kata ada pula.
"Kami serahkan keputusan hari ini kepada mahkamah.
Tetapi bagi kami ia bukan keputusan yang bijak. Ia bukan dalam konteks hak
Sarawak," beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Wan memberi maklum balas terhadap keputusan sebulat
suara Mahkamah Persekutuan hari ini untuk menolak rayuan permohonan empat
orang Islam supaya permohonan murtad mereka didengar di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa mahkamah syariah
Sarawak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan murtad mereka.
Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dalam
penghakimannya di Kuching hari ini mengatakan walaupun tiada peruntukan dalam
mahkamah syariah tetapi ada seksyen dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001
yang boleh digunakan untuk mendengar kes murtad.
Wan turut menasihati ahli-ahli gereja agar bertenang dan
tidak membuat sebarang komen yang tidak perlu di media sosial.
"Sebagai orang Kristian dan rakyat yang patuh kepada
undang-undang, kita harus mematuhi mahkamah undang-undang dan peraturan
negara," katanya.
Presiden Persatuan Peguam Syariah Malaysia Musa Awang
berkata semua pihak perlu menerima keputusan mahkamah itu dengan hati terbuka
dan jadikannya sebagai satu cara untuk menyatukan negara dan semua agama.
"Kes ini harus menjadi pengajaran kepada semua negeri
yang tidak memperuntukkan pengisytiharan yang seseorang itu bukan lagi seorang
Islam, seperti peruntukan sama dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau
Enakmen atau Ordinan Mahkamah Syariah di negeri lain.
"Penghakiman ini juga memperakui bahawa mahkamah
syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan murtad, yang
menentukan sama ada seseorang itu memeluk agama Islam atau lahir dalam Islam
kekal sebagai seorang Islam atau tidak," katanya. – 27 Februari, 2018.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Mahkamah Persekutuan Perlu Rujuk Perjanjian Malaysia Bagi Kes Murtad" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 27 Februari 2018)