MAJLIS Gereja Malaysia (CCM) hari ini menuntut agar Presiden
PAS Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataannya yang sistem kasta itu diamalkan
dalam Kristian, mengatakan ia adalah "gambaran yang salah".
Hadi dilaporkan mengatakan Islam menghapuskan sistem kasta
kerana para ulamanya tidak dianggap suci, sementara agama lain, seperti Hindu
dan Kristian, masih mempunyai sistem yang menganggap pastor sebagai tokoh suci.
"Kami menyeru presiden PAS menarik balik perbandingan
lemah yang dibuatnya, yang tidak berasas dan keterlaluan.
"Sekiranya tidak disekat, ia akan menyakiti perasaan
orang Kristian dan menghalang (pembentukan) hubungan harmoni antara agama di
negara ini," kata Setiausaha Agung CCM Dr Hermen Shastri dalam satu
kenyataan.
Presiden PAS itu berkata demikian semasa menafikan dakwaan
penganalisis politik yang cadangan dua Kabinet pada dasarnya adalah sistem
kasta agama.
Lidah rasmi parti Islam itu, Harakahdaily, melaporkan Hadi
membuat kenyataan itu kerana menafikan beliau pernah mencadangkan struktur dua
Kabinet sekiranya PAS berkuasa.
Hadi berkata Islam menentang pendapat yang para ulama agama
adalah pemimpin mutlak.
"Islam juga menentang diktator, dan Islam memantau
demokrasi. Demokrasi adalah hak rakyat, dan rakyat tidak seharusnya
terpengaruh.
"Jika majoriti orang yang tidak tahu terpengaruh, maka
demokrasi hilang, Islam mengawal demokrasi."
Hermen berkata kenyataan Hadi yang Kristian adalah agama
mempraktikkan sistem kasta adalah "gambaran yang salah".
Beliau berkata sistem kasta tidak bersifat integral terhadap
doktrin dan amalan Kristian, dan pastor tidak dianggap "suci" dan boleh ditegur, walaupun mereka dipanggil untuk "melaksanakan tugas
suci bagi pihak penganutnya dan menjalani hidup yang suci". – 6 Februari, 2018.
(Diambil daripada artikel "Hadi Digesa Tarik Balik Semula Kenyataan Mengenai Sistem Kasta Dalam Kristian" bertarikh 6 Februari 2018)