Jumaat, 23 Februari 2018

Inilah Doa Terakhir Billy Graham Untuk Dunia


Pada hari jadinya yang ke-99 pada November lepas, penginjil yang terkenal di sekeliling dunia Billy Graham mengeluarkan sebuah video mendorong orang untuk mencari Tuhan dengan seluruh hidup mereka. Rupa-rupanya itu adalah doa umum terakhirnya untuk dunia.

"Saya sedang berdoa agar kita akan mengalami satu kebangunan rohani," Graham berkata. "Saya fikir itu hanya mungkin apabila individu-individu menyerahkan hidup mereka semula kepada Kristus."

Graham juga berkongsi nasihat bagaimana orang boleh benar-benar menjalani hidup Kristian.

"Pertamanya, kita mesti lakukan segala yang kita dapat untuk berjalan dalam jejak langkah Yesus. Jalani hidup di mana kita saling mengasihi, saling membantu, dan kita hidup menurut Firman-Nya seperti cara Yesus hidup."

"Roh Kuduslah yang membantu kita menjalani gaya hidup baru itu. Ianya berkenaan kasih, kelemah lembutan dan kesabaran dan semua perkara yang merupakan buah Roh Kudus," tambahnya.


Graham menekankan kepentingan membaca Alkitab setiap hari. 

"Anda membaca Firman-Nya tiap hari... Alkitab. Saya tahu ianya amat sukar tetapi anda mesti mulakan di mana saja tempat dan saya sarankan anda bermula dengan Injil Lukas dalam Perjanjian Baru dan dalam Perjanjian Lama mulakan dengan ayat pertama -- 'Pada Mulanya, Tuhan.'"

Graham menerangkan bahawa keintiman dengan Tuhan amat penting, dan itu mesti dicapai melalui doa. 

"Berlututlah dan berdoa sehingga anda dan Tuhan menjadi sahabat karib," katanya. "Saya tidak dapat gambarkan kepada anda sukacita dan damai yang Dia berikan dari rutin harian yang anda amalkan."

(Diterjemahkan daripada artikel CBN bertajuk, "This Was Billy Graham's Final Prayer For The World On His 99th Birthday"  bertarikh 21 Februari 2018)