Majlis Gereja Malaysia (MGM) terkejut dengan kenyataan
Menteri Wilayah Persekutan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggesa
gereja tidak menyebarkan perkara tidak benar.
"Ini adalah kenyataan tidak berasas dan mempersoalkan
kewibawaan kerohanian gereja dalam menyampaikan ajaran menurut apa yang
terkandung dalam kitab suci.
"Tindakan menteri yang membayangkan tugas agama kami
dalam menyampaikan khutbah ketika acara sembahyang di gereja sebagai
'menyampaikan hal yang tidak benar' hanya kerana ia kritikal terhadap isu
masyarakat adalah satu penghinaan kepada gereja," kata Setiausaha Agung
MGM) Hermen Shastri dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tengku Adnan pagi tadi yang
menggesa pihak gereja agar hanya menyampaikan ajaran agama ketika khutbah pada
hari Ahad, bukannya menyebarkan perkara
yang tidak benar.
"Saya juga nak rayu kepada kawan-kawan Kristianlah,
jangan gunakan gereja untuk bercakap sesuatu yang tidak benar, yang kamu baca
di internet atau apa saja yang datang kepada you lepas tu you cerita
di you punya church (gereja).
"Sila gunakan gereja sebagai tempat untuk menyebarkan
kehendak Tuhan, bukan untuk menyebarkan kehendak kamu sendiri atau perkara-perkara
yang kamu tidak suka," kata Tengku Adnan.
Herman menyifatkan kenyataan Tengku Adnan itu sebagai
menyedihkan, apatah lagi pada Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia yang
disambut pada minggu pertama bulan ini.
"Mungkin menteri tidak tahu yang gereja meluangkan
lebih banyak masa mendoakan negara dan pemimpin, agar mereka bertindak dan
mentadbir dengan adil seperti apa yang dikehendaki Tuhan kepada umat manusia.
"Beliau patut gembira apabila komuniti agama di negara
kita mengajarkan penganut mereka tentang keadilan, keamanan dan
keharmonian," katanya lagi.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Majlis Gereja Terkejut Dengan Kenyataan Ku Nan" bertarikh 3 Februari 2018)