Ahad, 11 Februari 2018

Pasangan Knierim Mengharungi Pancaroba Sebelum Layak Ke Olimpik PyeongChang 2018


Chris Knierim dan Alexa Scimeca Knierim. Pasangan di dalam dan di luar gelanggang ais - mereka telah berkahwin pada 2016 - pasangan Knierim telah memenangi satu-satunya tempat acara berpasangan (pairs) Amerika Syarikat untuk ke Olimpik tahun ini. Tetapi kemenangan mereka itu bukan selalu dijangkakan. Tidak lama selepas perkahwinan mereka, Alexa menjalani tiga pembedahan untuk penyakit abdomen yang membahayakan nyawa. Foto-foto yang dimuat naikkan secara online olehnya mengenai proses pemulihannya, termasuk parut-parut pembedahannya, menunjukkan betapa serius dan menakutkan pengalamannya itu. 

Chris & Alexa Knierim di Olimpik PyeongChang

Namun begitu, pasangan itu telah kembali ke gelanggang ais tidak lama selepas pembedahan terakhir Alexa. Pada mulanya Alexa hanya dapat meluncur beberapa minit setiap kali sebelum perlu tidur sekejap, dan ada pergerakan tertentu secara pasangan yang berbahaya kepada bekas jahitan pembedahannya. Tetapi mereka berdua telah melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2017 dan kini menuju ke Kejohanan Olimpik pertama mereka. 

"Saya mungkin telah hilang banyak kepercayaan kepada diri sendiri, tetapi saya telah bertumbuh dalam iman saya kepada Tuhan," kata Alexa. "Saya memiliki rasa kurang selamat sekarang yang dulu tidak pernah dirasakan, tetapi saya dapat menghadapinya dan meneruskan kerana saya telah mengalihkan fokus dan perhatian saya dari diri saya kepada iman saya."


(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Giving God the (Olympic) Glory: Christian Athletes to Watchin PyeongChang" yang ditulis oleh Gina Dalfonzo bertarikh 8 Februari 2018)