SETAHUN selepas suaminya hilang, Susanna Liew isteri kepada
pastor Raymond Koh masih meneruskan amal baktinya membantu rakyat terpinggir
dengan mengambil ibu tunggal bekerja di kedai kedai barangan kemas.
Kerja sedemikian sekurangnya dapat mengalihkan fokus beliau
daripada menunggu kepulangan Koh, yang diculik di siang hari pada 13 Februari
tahun lalu.
Liew, 61, berkata beliau mula menjadikan barangan kemas
sebagai hobi sejak tiga tahun lalu. Sejak itu beliau sedar yang beliau mampu
menjalankan perniagaan itu dengan menggunakan khidmat ibu tunggal dan wanita
yang memerlukan pendapatan lebih.
Ibu kepada tiga anak itu mula menjual barangan kemas di
pasar raya sejak Jun lalu. Menurutnya, beliau berjaya mendapat satu unit gerai
di Starling Mall, Damansara Uptown yang akan mula beroperasi selepas Tahun Baru
Cina.
“Saya mula jual barang kemas di Desa Park City Mall tahun
lalu.
“Tahun ini, saya berjaya dapat ruang meniaga di Starling
Mall. Kami akan mula buka kembali pada 23 sampai 25 Februari,” katanya kepada
The Malaysian Insight ketika ditemui di Starling Mall hari ini.
Bagi mengawal kos, Liew hanya akan membuka gerai itu dua
kali sebulan bergantung pada tarikh yang ditetapkan oleh Starling Mall.
“Berapa banyak wang yang saya dapat, beberapa peratus akan
diserahkan kepada Harapan Komuniti untuk program ibu tunggal. Selain kelas
barang kemas, saya juga menggaji beberapa ibu tunggal yang memerlukan kerja
bagi membantu saya di gerai,” katanya.
Harapan Komuniti merupakan pertubuhan kebajikan bukan
kerajaan yang diasaskan oleh suaminya pada 2004. Bertujuan untuk membantu
rakyat terpinggir dan ibu tunggal, antara programnya yang lain adalah
mengadakan pusat membaca dan pembelajaran untuk kanak-kanak kurang upaya.
Sejak Koh diculik, Liew dibantu dengan tertubuhnya tabung
amanah yang digerakkan oleh peguam keluarganya. Peguam Kenny Ng
berkata, tabung amanah itu juga akan membantu kerja Harapan Komuniti.
Liew berkata, secara kasarnya gerai itu akan diuruskan oleh
anak perempuannya, Esther, 32, yang turut membantu mengajar dalam kelas
barangan kemas.
“Saya mula buat kelas barang kemas untuk beberapa wanita
sejak dua tahun lalu di Harapan Komuniti.
“Saya ajar mereka bagaimana untuk membuat barang kemas yang
mudah seperti gelang dan subang, sementara saya buat barang yang susah sedikit
seperti rantai yang ditatah dengan batu permata yang separa murah,” katanya,
menambah yang beliau belajar kemahiran ini daripada seorang rakan dari Korea.
Walaupun masih aktif mencari jejak dan jawapan kehilangan
suaminya, Liew masih meneruskan kehidupannya.
Baru-baru ini, beliau dan ahli keluarganya memberi
keterangan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam
siasatan awam kehilangan suaminya.
Esok sempena genap setahun kehilangan Koh, keluarganya akan
mengadakan majlis sembahyang di gereja di Petaling Jaya.
Liew berkata, lebih kurang 200 orang telah mendaftar bagi
menghadiri upacara itu yang akan menayangkan video mengenai Koh. Video itu
dihasilkan oleh anak perempuannya, Esther.
Memandangkan kehilangan Koh masih misteri, apakah lagi yang
ahli keluarga mampu buat selain mengingati kehilangan ketua keluarga mereka
itu.
“Sudah setahun. Kami masih tidak tahu apa dah jadi dengan
Raymond. Kami macam berpatah balik ke titik asal memandangkan masih tiada
jawapan. Masih tiada kemas kini dan harapan kami untuk mendapatkan jawapan
ibarat layang-layang terputus tali.
“Kami rasa sangat tawar hati memandangkan siasatan tidak
bergerak ke mana, tambahan penggantungan (siasatan) semuanya umpama gantung tak
bertali.
“Tapi kami tak akan sama sekali putus asa. Semua dugaan ini
buatkan kami lebih tabah untuk teruskan perjuangan,” kata Liew.
Bulan lalu, siasatan
Suhakam itu digantung selepas pihak polis mengumumkan yang mereka
telah menahan suspek penculikan Koh.
Berita itu mengejutkan keluarganya memandangkan tertuduh,
Lam Chang Nam yang pernah didakwa atas kesalahan peras ugut pada tahun lalu,
telah dibersihkan oleh polis dari tuduhan penculikan.
Liew dan peguannya telah memperosal kenapa mereka tidak
diberitahu mengenai perkembangan besar dalam kes itu, selain meluahkan
kekesalan dan keraguan sama ada polis menahan orang yang betul.
Keluarganya sedang berusaha untuk menerima nasib sedemikian
memandangkan Tahun Baru Cina kian hampir.
Seperti setiap tahun, Liew berkata mereka akan melawat
keluarga suaminya di kampung halaman Koh di Johor Bahru.
“Raymond selalu akan cuba pulang untuk berjumpa ibu, adik
dan abangnya.
“Kami selalu adakan perjumpaan makan malam dengan
keluarganya. Makanan kegemarannya adalah steamboat sebab itu dah macam tradisi
untuk Tahun Baru Cina, selain itik.”
Tanpa suaminya tahun ini, Liew berkata keluarganya akan
mengadakan perjumpaan di ambang Tahun Baru Cina dengan keluarganya dahulu
sebelum berangkat ke selatan melawat keluarga Koh.
“Ini adalah kali pertama kami menyambut Tahun Baru Cina
tanpa Koh. Kami sangat sedih. Kami harap sangat dia ada dengan kami. Itu
harapan kami untuk Tahun Baru Cina ini, supaya dia boleh bersama kembali dengan
keluarga.
“Sukar untuk anak-anak saya terutamanya Esther yang sangat
rapat dengan Raymond.
“Dia rindukan ayahnya, dan kerap mengingati lawatan kami ke
Johor Bahru yang mana Raymond selalu bercerita tentang kehidupannya membesar di
sana. Mereka sangat rindukan dia.” – 12 Februari, 2018.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Setahun Tanpa Raymond Koh, Isteri Tetap Terus Bantu Orang Miskin" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 12 Februari 2018)