Isnin, 5 Februari 2018

Walau Sudah Beri Penjelasan, Ku Nan Terus Diselar Kerana Singgung Gereja


RAKYAT Malaysia terus menyelar Tengku Adnan Tengku Mansor kerana kenyataannya semalam mendakwa penganut Kristian menggunakan gereja untuk menyebar fitnah tentang kerajaan walaupun menteri itu sudah menjelaskan yang kenyataannya “disalah erti”.

Menteri Wilayah Persekutuan itu pagi semalam mengatakan gereja sepatutnya menjadi tempat “menghebahkan ajaran Tuhan” dan bukannya medan pemimpin gereja meluahkan ketidakpuasan hati peribadi mereka serta menyebarkan “berita palsu”.

Beberapa jam selepas itu, beliau menjelaskan yang kenyataannya disalah erti dan beliau hanya menasihati gereja untuk menumpukan aktiviti mereka kepada aktiviti keagamaan dan tidak terlibat dalam penyebaran fitnah yang menjejaskan kerajaan.

Di media sosial, majoriti rakyat Malaysia termasuklah bukan Kristian terus menyelar Tengku Adnan yang juga lebih mesra dipanggil Ku Nan itu kerana menghina penganut Kristian di negara ini

Timbalan Presiden Warisan Sabah, Darell Leiking berkata kenyataan itu menghina Kristian dan gereja, yang merupakan rumah ibadat seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Rumah ibadat terutama gereja bukanlah tempat untuk sebar fitnah atau berita tak baik kepada rakyat.

“Tengku Adnan selaku setiausaha agung Umno sangat salah dan bagi saya dia telah menghina semua penganut Kristian untuk memikirkan yang gereja akan menggalakkan atau membenarkan fitnah,” tulisnya dalam catatan di Facebook.

Seorang lagi pengguna Facebook, Gerald Wahh Onn mempersoalkan bagaimana seorang menteri Islam boleh mengetahui fitnah disebarkan di gereja.

“Bagaimana dia tahu gereja sebar fitnah? Saya rasa dia pergi ke gereja setiap Ahad kerana setakat yang saya tahu, tiada gereja di sini bercakap tentang politik,” katanya.

Jika Ku Nan pasti berita palsu disebarkan gereja, beliau perlu memberikan contoh dan memastikan gereja itu disiasat, kata Stephen Doss pula.

“Tolong beri nama gereja yang bercakap tentang politik, atau cakap buruk tentang kerajaan, kerana ini perkara serius, fitnah! Satu lagi berita palsu dikesan,” tulisnya di Facebook.

Abdul Aziz Isa pula mengatakan alasan menteri itu yang beliau disalah erti adalah alasan yang sering kali digunakan setiap kali beliau dilaporkan mengeluarkan kenyataan menyinggung.

“Seperti biasa… bukan pertama kali dia kata kenyataannya disalah erti.”

Sebelum ini, Ku Nan seringkali menyalahkan media kerana “menyalah erti” kenyataannya dalam pelbagai isu daripada kenaikan harga minyak sehinggalah kepada perlumbaan haram di ibu kota. 

Pada November lalu, beliau terpaksa meminta maaf selepas dikecam pelajar dan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana menggelarkan pelajar universiti itu sebagai “pelajar lembap”.

Pelajar dan alumni universiti itu termasuklah Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani menyelar kenyataan itu.

Di Twitter pula, ramai pengguna menggesa menteri seperti Ku Nan dikalahkan pada pilihan raya akan datang kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Ada juga pengguna media sosial yang menimbulkan kualiti menteri Barisan Nasional dan Umno yang seringkali mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Semalam, Ku Nan mengatakan gereja digunakan untuk menyebarkan fitnah tentang kerajaan, tetapi kemudian mendakwa kenyataannya disalah erti.

“Tuan-tuan baca di internet dan apa sahaja yang ditemui, dan tuan-tuan cerita di gereja.

“Kerana bila tuan-tuan pergi ke mana-mana, bila tuan-tuan bagi khutbah dan mengajar pada Ahad, ada banyak perkara yang disebut yang kadang kala tidak benar.

“Tolong guna gereja sebagai tempat untuk tuan-tuan sebarkan ajaran Tuhan, bukan untuk sebarkan ajaran sendiri atau perkara yang tuan-tuan tak suka,” katanya.

Kenyataan itu dikecam pemimpin gereja yang menyifatkannya tidak berasas dan menyinggung penganut agama itu. – 4 Febuari, 2018.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Walau Sudah Beri Penjelasan, Ku Nan Terus Diselar Kerana Singgung Gereja" bertarikh 4 Februari 2018)