Jumaat, 2 Mac 2018

Bagaimana Billy Graham Mengelakkan Skandal Seumur Hidupnya

Penginjil Billy Graham

Penginjil Billy Graham hidup 99 tahun, menulis 30 buku, bertemu dengan 12 Presiden Amerika dan mengkhabarkan Injil kepada berjuta-juta orang. Tetapi apabila dia dikebumikan Jumaat ini, 2 Mac di kampung halamannya di Charlotte, North Carolina, dia tidak hanya dikenang sebagai seorang wira iman yang mengubah dunia tetapi juga sebagai seorang pengkhutbah yang rendah hati yang integriti peribadinya telah meletakkan piawaian emas untuk setiap pastor di negara ini.

Kenapakah lelaki ini begitu dihormati? Bagaimanakah dia dapat mengekalkan pelayanannya bebas dari skandal untuk lebih 75 tahun.

Pada 1948, semasa Graham cuma berusia 30 tahun, dia dan pasukan pelayanannya yang kecil telah bertemu untuk pengkajian Alkitab dan doa di sebuah motel kecil di Modesto, California. Lelaki-lelaki lain dalam pertemuan itu termasuklah pembantu penginjil Grady Wilson, penyanyi George Beverly Shea dan pemimpin pujian Cliff Barrows. Graham mencabar mereka untuk berdoa mengenai apakah tata kelakuan yang mereka perlu wujudkan untuk mengekalkan ketulusan pelayanan mereka.

Hasil daripada pertemuan itu amatlah profetik. Lelaki-lelaki itu menyenaraikan apa yang akan menjadi "Manifesto Modesto" - satu senarai nilai pelayanan utama yang menjadi prinsip pegangan Billy Graham Evangelistic Association. BGEA telah ditubuhkan dua tahun kemudian, pada 1950, cuma setahun selepas liputan media ke atas kempen penginjilan lapan minggu Graham di Los Angeles telah menjadikannya dikenali secara umum. 

Billy Graham dan rakan-rakan sepelayanan George Beverly Shea (kiri)
dan Cliff Barrows (kanan)



Berikut adalah empat komponen Manifesto Modesto, disertai nota yang telah dicatit oleh Cliff Barrows semasa pertemuan mereka:

1. Kejujuran: "Telah diputuskan bahawa tidak akan ada sebarang komunikasi disampaikan kepada media dan Gereja yang telah diperbesarkan atau ditokok-tambah. Bilangan hadirin dan orang yang ingin diselamatkan tidak akan diperbesarkan untuk tujuan memberi gambaran lebih baik terhadap Billy Graham Evangelistic Association."

2. Integriti: "Telah diputuskan bahawa hal-hal kewangan akan dilaporkan kepada sidang lembaga pengarah untuk penilaian dan kelulusan untuk perbelanjaan. Setiap Rapat Umum tempatan akan mengamalkan dasar "buku terbuka" dan menerbitkan laporan ke mana dan bagaimana kewangan digunakan."

3. Kesucian: "Telah diputuskan bahawa ahli-ahli Pasukan Pelayan akan mengambil perhatian rapi untuk mengelakkan godaan - tidak sesekali bersendirian dengan wanita lain, dan memberi pertangunggjawab kepada satu sama lain. Para isteri sentiasa dimaklumkan tentang aktiviti dalam perjalanan supaya para isteri dapat merasakan mereka juga sebahagian daripada Rapat Umum yang dijalankan."

4. Kerendahan Hati: "Telah diputuskan bahawa ahli-ahli Pasukan Pelayan tidak akan mengucapkan hal yang negatif mengenai Pastor/Pendita yang lain, tidak mengira aliran denominasinya atau yang berbeza pandangan teologia serta amalannya. Misi penginjilan termasuklah menguatkan Tubuh Kristus dan juga membinanya."

Melayani bersama-sama dari muda sampai tua dengan Manifesto Modesto
(Dari kiri: Cliff Barrows, Grady Wilson, Billy Graham, George Beverly Shea)

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel Charisma News bertajuk, "How Billy Graham Avoided Scandal His Entire Life" yang ditulis oleh J. Lee Grady bertarikh 1 Mac 2018)