Khamis, 1 Mac 2018

Bangunan Gereja SIB Taginambur, Kota Belud Telah Siap Dibina Dan Dirasmikan Pada 1983

SIB Taginambur (Foto dari FB Janne Jane Nathanielsz)

Bangunan Gereja SIB Taginambur tersergam indah di Kampung Taginambur, 16 km dari pekan Kota Belud, Sabah  Bangunan gereja itu telah siap dibina dan dirasmikan pada 31 Mac 1983 oleh YB Yapin Gimpoton, Pembantu Menteri Tenaga Rakyat dan Pembangunan Alam Sekitar. 

Foto SIB Taginambur dengan latar belakang menarik di waktu senja
(Foto dari laman Pictame)

Pembinaan gereja itu telah mengambil masa lebih kurang dua tahun selepas bangunan lamanya yang diperbuat kayu dirobohkan pada penghujung 1980. Sementara proses pembinaan itu dilakukan, kebaktian Ahad telah diadakan di Dewan Gopog Taginambur dengan izin Pegawai Daerah Kota Belud.

Bangunan Gereja SIB Taginambur telah siap dibina dan dirasmikan pada 31 Mac 1983
(Foto: CEphoto, Uwe Aranas / CC-BY-SA-3.0)

Sejarah Ringkas Gereja SIB Taginambur

Pada 1951, sekumpulan penduduk Dusun dari beberapa kampung berdekatan telah merintis sebuah kampung baru di Batu Sepuluh (yang kemudian dinamakan Kampung Taginambur). Penduduk awal kampung itu telah membina dua rumah panjang bersebelahan Sungai Kadamaian sebagai penempatan untuk keluarga-keluarga yang telah berpindah ke situ.  

Satu ruangan berukuran 15 kaki kali 15 kaki di tengah salah satu daripada rumah panjang itu telah dikhususkan sebagai "gereja pertama" di penempatan  baru itu. Ibadah dipimpin oleh Misionari Trevor White (Pendeta Asang) yang tinggal bersama isterinya Konih bersebelahan gereja.

Kemudiannya Pendeta Asang dan penduduk-penduduk kampung telah membina sebuah gereja berukuran 75 kaki kali 35 kaki yang telah disiapkan pada 1956. Perasmian gereja itu telah dilakukan oleh Pendeta Alan Belcher pada 26 Disember 1956 dan telah disaksikan oleh kira-kira 1,000 orang. 

Gereja lama SIB Taginambur (1956-1980)


Bangunan lama SIB Taginambur telah disiapkan  dan dirasmikan pada 1956

Kebaktian ibadah di bangunan lama Gereja SIB Taginambur

Bangunan lama gereja SIB Taginambur yang diperbuat kayu itu telah digunakan untuk ibadah dan aktiviti gereja selama 25 tahun. Ianya akhirnya telah dirobohkan pada penghujung 1980 sebagai persediaan untuk membina bangunan gereja yang ada sekarang.

Terima kasih kepada Sdr Kelvin Suali dan Brandon Douglas yang telah banyak membantu saya mendapatkan informasi untuk artikel ini!

[Sumber rujukan: "Asang - The Story of Trevor White and the Dusuns of Sabah" dan "Taginambur 'Potilombus Pisompuruan Taginambur' Perayaan 56 Tahun (1951-2016)"]