Cebisan dari Injil Yohanes adalah salah satu artifak paling terkenal di John Rylands Library. Cebisan kecil papirus itu hanya berukuran 8.9 x 6.0 cm, tetapi membekalkan banyak maklumat.
Cebisan itu (yang dinamakan Papirus 52 atau P52) dianggap secara meluas sebagai bahagian manuskrip tertua Perjanjian Baru pernah ditemui. Ianya memberikan kita bukti penting penyebaran Kristian di wilayah-wilayah Empayar Rum pada abad-abad pertama zaman kita.
Cebisan Injil Yohanes dipamerkan di John Rylands Library, Manchester |
Pengkaji pertamanya memberikan tarikh cebisan itu seawal separuh pertama abad kedua (di antara 100-150 Tahun Masihi). Tarikh itu telah dianggarkan secara palaeografi, dengan membandingkan gaya tulisan dengan manuskrip-manuskrip lain. Bagaimanapun palaeografi bukanlah kaedah sains yang amat tepat - manuskrip-manuskrip Alkitabiah yang sebanding dengannya semuanya tidak disertai tarikh dan kebanyakan papirus yang menunjukkan tarikh yang nyata adalah dokumen-dokumen pentadbiran.
Muka depan Papirus 52 (P52) |
Menguji tarikh secara karbon (carbon dating) adalah kaedah yang memusnahkan dan tidak digunakan ke atas Cebisan ini.
Muka belakang Papirus 52 (P52) |
Majoriti daripada papirus yang wujud dari tarikh ini adalah dalam bentuk gulungan, ditulis dalam beberapa baris ruangan di satu belah kepingan papirus. Cebisan ini mengandungi tulisan dari tangan yang sama pada kedua-dua belahnya, oleh itu ianya adalah sebahagian daripada sebuah codex (buku dengan muka surat yang boleh dibelek-belek). Bentuk codex ini telah diamalkan oleh penulis-penulis awal Kristian dan dengan cepat telah menjadi format biasa untuk teks-teks Kristian.
Muka depan cebisan itu mengandungi permulaan tujuh baris dari Yohanes 18:31-33.
Muka belakang cebisan itu mengandungi penghujung tujuh baris dari Yohanes 18:37-38.
Cebisan ini asalnya telah ditemui di Mesir, dan mungkin datangnya dari tapak terkenal Oxyrhynchus (Behnesa), kota yang telah musnah di utara Mesir di mana Grenfell dan Hunt telah menjalankan beberapa penggalian paling mengejutkan dan berjaya dalam sejarah arkeologi (kaji purba).
(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel University of Manchester Library bertajuk, "What Is The Significance Of This Fragment?" serta artikel Bible Research bertajuk, "Papyrus 52 - A Fragment of John' Gospel")