Khamis, 28 Jun 2018

Kisah Mengkagumkan Bagaimana Bintang Brazil Ini Telah Teruskan Hidup Setelah Hampir Digugurkan Dalam Kandungan


Sebagai seorang pemain bola sepak profesional, Thiago Silva telah memenangi banyak hadiah kemenangan. termasuklah dinamakan sebagai salah satu daripada 11 pemain utama di Eropah selama tiga tahun berturut-turut. Tetapi pasti saja semua pencapaian profesionalnya tidak akan bererti tanpa hadiah yang paling mengkagumkan sekali, iaitu rasa hormat ibu dan datuknya terhadap hak Thiago untuk hidup seperti yang diberikan oleh Tuhan. 

Thiago Silva mewakili Brazil di Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia

Satu laporan yang disampaikan oleh Globo TV Channel, stesen TV terbesar di Brazil, telah mendedahkan bagaimana emak Thiago, Angela telah mempunyai dua orang anak - seorang lelaki dan seorang perempuan - ketika dia hamil dengan Thiago. Dia pasti bahawa dia tidak dapat menyara hidup seorang lagi anak, dan meskipun dia merasa sangat berat hati ketika berfikir untuk menggugurkan anaknya, dia merasakan bahawa dia tidak ada pilihan lain. 

"Saya duduk di riba ayah dan banyak menangis. Saya tidak ingin menggugurkan anak tetapi saya tidak dapat menyara seorang lagi anak," katanya. Ayah Angela, bagaimanapun menyakinkannya untuk tidak menggugurkan bayi itu. "Ayah saya tidak mengizinkan saya melakukan dosa ini," Angela mengingat kembali.

Thiago Silva merayakan jaringan golnya menentang Serbia

Kemiskinan dan penyakit menguasai zaman kanak-kanak Thiago. Ketika dia berusia 14 tahun, dia menderita penyakit batuk kering. "Itu adalah pergelutan terbesar hidup saya. Saya terpaksa tinggal di hospital selama enam bulan sehinggalah saya sembuh."

Menetap hanya 50 meter dari salah satu kawasan setinggan yang mempunyai reputasi buruk di Rio, pemain pertahanan tengah yang terkenal ini boleh mudah sahaja berpaling ke jalan kehidupan jenayah. "Kami sentiasa mendengar tembak-menembak. Polis sering datang ke kawasan di mana saya tinggal. Apabila saya sampai ke rumah, saya akan ucap syukur kepada Tuhan kerana selamat kembali rumah." Tetapi di sebaliknya, Thiago telah memilih untuk mengikuti Tuhan dan mengejar impiannya untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional. 

Thiago Silva (No. 2) menjaringkan gol Brazil
menentang Serbia di Piala Dunia FIFA 2018

Hidup tidak pernah mudah bagi Thiago dan kehidupan profesionalnya juga begitu. Thiago pada awalnya gagal memasuki kelab-kelab tempatan Brazil dan akhirnya menyertai pasukan tempatan bertaraf dua dari sebuah kawasan miskin di Rio de Janeiro. Tetapi dengan kerja keras dan disiplin, kegagalan awalnya tidak lama kemudian berubah menjadi kejayaan. Dia akhirnya mendapat peluang diperhatikan di Eropah apabila ditandatangani oleh sebuah pasukan Rusia. Dia terkemudiannya menandatangan untuk bermain bagi pasukan gergasi Paris Saint Germain. Kini dia mendapat gaji tahunan $16 juta setahun. 

Kisah kecekalan dan tekad Thiago adalah satu contoh mengapa kita tidak harus mengalah kepada godaan untuk menetapkan potensi seseorang dalam hidup, terutamanya anak dalam kandungan. Thiago hampir telah digugurkan dari kandungan, tetapi dia tidak digugurkan. Dia mungkin boleh memilih jalan hidup jenayah, tetapi dia tidak memilih jalan itu. Dia mungkin boleh melepaskan impiannya, tetapi dia cekal bertahan. Kini, dia adalah salah satu pemain pertahanan tengah terbaik di dunia dan menjadi peringatan yang menginspirasikan bahawa setiap nyawa sangat berharga.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Life Site bertajuk, "The Amazing Story of How Brazil's Top Soccer Superstar Was Nearly Aborted, But Lived" yang ditulis oleh Guilherme Ferreira Araujo bertarikh 11 Julai 2014)