Timbalan Ketua Menteri, Wilfred Madius Tangau (berbaju putih) bersalaman dengan presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Melter Jiki Tais selepas pertemuan dengan pemimpin-pemimpin gereja semalam. |
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang untuk memberi upah kepada pastor-pastor dan paderi-paderi untuk kerja mereka, sebagai sebahagian daripada dasar baru untuk membantu semua komuniti agama di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri, Wilfred Madius Tangau berkata langkah itu berikutan pengumuman berasingan oleh Ketua Menteri Shafie Apdal untuk memberi gaji kepada imam-imam.
"Shafie telah menyebut mengenai upah untuk imam-imam dan kami mencadangkan bahawa pastor-pastor dan paderi-paderi Kristian juga diberikan yang sama," Tangau berkata selepas bertemu pemimpin-pemimpin gereja semalam.
Mengenai peruntukan khas lebih kurang RM30 juta yang telah diberikan oleh kerajaan terdahulu kepada badan-badan bukan Muslim secara tahunan, Tangau berkata dia belum berbincang lagi mengenai perkara itu kerana dia sedang menumpukan perhatian pada pemberian gaji dan keperluan lain yang memerlukan perhatian segera.
Melalui perbincangan itu, dia berkata dia mendapati bahawa cara di mana bantuan kerajaan disalurkan kepada gereja-gereja boleh ditambah baik lagi.
"Kami sedang mengkaji cara-cara lain untuk mengedarkan bantuan. Mungkin daripada melakukannya melalui suatu jabatan tertentu, kita boleh melakukannya dengan cara-cara lain yang lebih berkesan," katanya.
Pada pertemuan ini, Tangau berkata masalah orang-orang Kristian dikelaskan secara salah sebagai "Muslim" oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan cukai ke atas gereja juga telah dibincangkan.
"Sebagai contoh, penceramah-penceramah gereja telah dikelaskan sebagai artis dan tertakluk kepada penahanan cukai. Bagaimanapun, ini kebanyakannya perkara-perkara yang melibatkan persekutuan," katanya.
Tangau berjanji bahawa kerajaan negeri akan mengkaji kembali isu-isu agama yang berbangkit yang membawa kesan kepada Sabah dan berusaha untuk menyelesaikannya secepat mungkin.
Dipercayai bahawa isu-isu itu termasuklah penggunaan istilah "Allah" oleh orang-orang bukan Muslim untuk merujuk kepada Tuhan dalam doa dan ibadah mereka.
(Diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Sabah Mulls Giving Pastors, Priests Salaries" yang ditulis oleh Tracy Patrick bertarikh 9 Jun 2018)