KUALA LUMPUR: Tan Sri Richard Malanjum malam ini mengangkat
sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baru berkuat kuasa hari ini.
Malanjum, 65, menerima surat cara pelantikan daripada Yang
di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam upacara di Bilik Singgahsana Kecil,
Istana Negara.
Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah
jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri
Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tommy Thomas, dan Ketua Pendaftar Mahkamah
Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.
Malanjum, bekas hakim besar Sabah dan Sarawak menggantikan
Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai ketua
hakim negara pada 31 Julai.
Malanjum dilahirkan pada Oktober 1952 di Tuaran, Sabah di mana beliau memulakan persekolahannya di peringkat rendah dan menengah di Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau memulakan kerjayanya dengan berkhidmat di Jabatan Pelajaran dan kemudian beberapa jabatan kerajaan yang lain.
Beliau memulakan kerjayanya dengan berkhidmat di Jabatan Pelajaran dan kemudian beberapa jabatan kerajaan yang lain.
Pada 1972, beliau melanjutkan pelajaran ke Institut
Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam, Selangor,
sebagai pelajar luar kampus University of London dalam bidang Undang-Undang dan
dianugerahkan Bachelor of Laws (LL.B) (Hons) (London) pada 1975.
Selepas memperoleh ijazah undang-undang, Malanjum berkhidmat
di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan ditugaskan sebagai timbalan pendakwa raya di
Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.
Malanjum melanjutkan pelajaran di London dan berjaya
menghabiskan pengajian “Bar-at-Law” pada tahun yang sama. Beliau dipanggil ke
“The English Bar of the Honourable Society of Gray’s Inn” di London.
Tan Sri Richard Malanjum menerima watikah perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agung |
Sekembalinya dari London, beliau berkhidmat semula di
Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai pegawai undang-undang/timbalan
pendakwa raya.
Pada 1977, beliau diterima masuk sebagai peguambela dan
peguamcara di Sabah dan juga diterima masuk ke “The Australian Capitol
Territory” (ACT) Bar pada 1991.
Pada 1981, Malanjum meletak jawatan di Pejabat Peguam Besar
Negeri dan seterusnya menyertai bidang kerjaya guaman persendirian di Kota
Kinabalu di mana pada waktu itu beliau menjadi presiden Persatuan Undang-Undang
Sabah sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada awal 1992.
Malanjum merupakan anak kelahiran Bumiputera Sabah yang
pertama dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi, hakim Mahkamah Rayuan dan hakim
Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia.
Pada 2006, buat pertama kalinya sejak terbentuknya Malaysia,
beliau menjadi rakyat Sabah yang pertama diangkat sebagai hakim besar Mahkamah
Tinggi Sabah dan Sarawak. Sebelum ini, jawatan tersebut dipegang masing-masing
oleh seorang berbangsa British, seorang dari Semenanjung dan beberapa orang
dari Sarawak.
Sejurus selesai upacara angkat sumpah tersebut, Sultan
Muhammad V kemudian mengurniakan watikah pelantikan kepada Tan Sri Ahmad Maarop
sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin
dan juga watikah kepada Datuk David Wong Dak Wah sebagai hakim besar Sabah dan
Sarawak menggantikan Malanjum.
Md Raus dan Zulkefli meletakkan jawatan mereka selepas
diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun lalu.
Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Richard Malanjum Ketua Hakim Negara Baru" bertarikh 11 Julai 2018)
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Richard Malanjum Ketua Hakim Negara Baru" bertarikh 11 Julai 2018)