Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman |
KOTA KINABALU: Satu video tular Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menghadiri majlis kesyukuran rakan Parti Warisan Sabahnya, Datuk Liew Vui Keong, bukanlah satu isu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman mengatakan itu sebagai jawapan kepada satu video yang disebarkan di media sosial berkenaan kehadiran Shafie di majlis itu di kediaman peribadi Liew di sini pada hari Sabtu (7 Julai).
"Mungkin ada sebilangan orang di Semenanjung Malaysia yang tidak memahami bahawa itulah cara hidup kami di Sabah. Kami telah hidup secara harmoni selama ini meskipun berbeza kaum dan agama. Itu bukan masalah bagi kami... itu langsung bukan isu," katanya sewaktu dihubungi pada hari Selasa (10 Julai).
Ketua Pemuda Warisan itu berkata bahawa dia juga telah diundang ke majlis itu, tetapi tidak dapat pergi kerana sedang menghadiri satu acara di kawasannya di Sepanggar.
"Sebagai Ketua Menteri, Shafie menghadiri majlis kesyukuran itu sebagai tanda hormat kepada Liew, yang telah dilantik sebagai Menteri Persekutuan baru-baru ini.
"Ya, ada orang menyanyi (lagu-lagu hymn) di situ. Tetapi bagi saya, itu samalah dengan karoling. Sebagai seorang Muslim. Shafie menghormati tuan rumahnya, tetapi dia tidak mengambil bahagian dalam doa-doa itu.
"Tambah lagi, bukan hanya dia yang Muslim dalam majlis itu. Ramai anggota parti dari pelbagai agama termasuk Muslim juga ada di situ," jelasnya.
Ramai netizen yang memuji Shafie, yang adalah Presiden Warisan, kerana memaparkan cara keharmornian Sabah dengan menghadiri majlis itu, walaupun menerima kritikan dari pihak-pihak tertentu, termasuk dari laman Facebook "Friends of BN - Barisan Nasional."
(Diterjemahkan daripada artikel The Star Online bertajuk, "Shafie Attending Christian Function Is Sabahan Way Of Harmony Says Deputy Home Minister" yang ditulis oleh Natasha Joibi bertarikh 10 Julai 2018)