Sarjan Shamzaini Mohd Daud |
KUALA LUMPUR: Pegawai polis yang dikaitkan dengan kehilangan
Amri Che Mat mengambil 2 hari untuk menenangkan diri sebelum membuat laporan
polis bagi menyangkal dakwaan isteri aktivis Perlis itu yang beliau memiliki
maklumat berkaitan kehilangan suaminya pada November 2016.
Pegawai Cawangan Khas (SB) di Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd
Daud berkata, beliau hanya tahu isteri Amri, Norhayati Ariffin membuat laporan
terhadapnya selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menghubunginya 16
Mei lalu.
“Bagaimanapun, ketika itu saya tidak membaca laporan polis
yang dibuat Norhayati, hanya mendapat taklimat daripada ketua Cawangan Khas,
pada tarikh sama saya dihubungi Suhakam, iaitu 16 Mei.
“Saya buat laporan polis pada 18 Mei sebab saya hendak
tenangkan diri. Saya tidak mahu ada paksaan dari mana-mana pihak, saya tidak
mahu fikiran terganggu,” katanya ketika memberi keterangan kepada panel inkuiri
Suhakam hari ini.
Shamzaini mendakwa laporan polis itu menjejaskan imej,
kerjaya dan pandangan masyarakat sekeliling terhadapnya.
Beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah
Arau pada 18 Mei lalu dan menafikan laporan dibuat Norhayati yang mengaitkan
dirinya dengan kehilangan Amri.
“Tujuan saya buat laporan itu adalah menafikan dan
menyangkal dakwaan Norhayati terhadap diri saya, kerjaya saya, khususnya
pasukan polis dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau.
“Saya juga ingin menjelaskan tidak pernah menerima sim kad
dan mengambil wang berjumlah RM100 dari Norhayati, ia tidak benar.”
Bagaimanapun, beliau mengakui menemui Norhayati pada 12 Mei
lalu untuk membincangkan penyewaan sebuah kedai milik Norhayati untuk memulakan
perniagaan membaiki kereta.
“Kali pertama saya jumpa adalah pada waktu pagi, namun tidak
dapat berbincang kerana Norhayati ketika itu hendak keluar rumah untuk urusan
lain dan minta saya datang pada sebelah malam.
“Kali ke-2 bertemu dengan Norhayati adalah pada waktu malam
untuk perbincangan lebih serius,” katanya sambil menambah pertemuan itu
berlangsung kira-kira 2 jam.
Shamzaini berkata, niat asal membincangkan urusan penyewaan
kedai tidak berlaku kerana Norhayati menceritakan kehilangan Amri dan kesan
dihadapinya selepas insiden itu.
“Telah bertukar topik dari tujuan tanya kedai, jadi emosi.
Kak Yat (Norhayati) jadi emosi. Dia mula-mula cerita pasal kehilangan suami,
ketika itu saya mengaku saya simpati dengannya.
“Namun, simpati saya disalahgunakan Kak Yat. Dia mendesak
saya dan itu membuatkan saya kurang selesa. Kak Yat berulang kali mereka-reka
benda yang tidak ada kena-mengena dengan diri saya.”
Panel inkuiri diketuai Datuk Mah Weng Kwai meminta Shamzaini
menjelaskan kenapa pertemuan itu berlarutan 2 jam sedangkan beliau mendakwa
Norhayati mereka cerita.
“Saya cuba kawal emosi Norhayati, katanya hendak buat
laporan polis terhadap diri saya. Saya pujuk supaya jangan buat laporan polis
terhadap diri saya sebabnya saya memikirkan implikasi sekiranya Kak Yat membuat
laporan polis terhadap saya, imej saya akan tercemar, kerja saya akan
terganggu.
“Saya juga faham dengan keadaan diri dia dan suami. Saya
beranggapan tidak mengapalah dan saya juga masih kasihan padanya sebab itu saya
tidak buat laporan polis selepas pertemuan itu.”
Shamzaini berkata, sepanjang 17 tahun berkhidmat dengan
pasukan polis, beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang kerja pemantauan ke
atas aktiviti Amri atau badan bukan kerajaan, Perlis Hope yang diasaskan Amri.
“Saya menjalankan tugas menguruskan fail dan saya juga
merupakan pemandu kepada ketua SB di Perlis. Kemudian pada September 2017, saya
bertukar ke cawangan lain.”
Amri hilang sejak 24 November 2016 dan saksi kejadian
memberitahu panel siasatan awam Suhakam, mereka ternampak beberapa lelaki
mencurigakan memintas kenderaan Amri pada malam itu dan Toyota Fortunernya
ditemui kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.
Pada 30 Mei lalu, Norhayati memberitahu panel inkuiri
Suhakam yang Shamzaini memberitahu beliau, suaminya ditahan sepasukan polis
dari Bukit Aman pada November 2016 atas alasan Syiah.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy
memberitahu panel inkuiri Suhakam yang Shamzaini membuat laporan polis
menafikan pernah membuat pendedahan mengejutkan itu dan dakwaan Norhayati tidak
benar.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Saya Tenangkan Diri 2 Hari Sebelum Lapor Polis, Kata Pegawai SB" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 6 Julai 2018)