Jumaat, 19 Oktober 2018

Ahad Lepas Saya Beribadah Di Gereja Hillsong


Pada Ahad lepas saya beribadah di Gereja Hillsong London, yang terletak di kawasan pusat bandaraya London. Gereja itu menyewa Dominion Theatre untuk mengadakan empat kebaktian pada setiap hari Ahad.

Saya tiba awal untuk kebaktian pertama yang diadakan pada 11 pagi. Beberapa orang penyambut tetamu menyambut saya dengan mesra. Seorang daripada mereka, bernama Marje, berasal dari Filipina dan sedang bekerja di London. Dia memberitahu saya bahawa dewan teater itu boleh memuatkan sehingga 2,000 orang.

Ibadah bermula tepat 11 pagi dan saya telah mengambil tempat duduk di barisan yang agak di hadapan. Muzik dimainkan dan semua orang bersiap untuk permulaan ibadah.


Seorang pemuda dan dua pemudi tampil ke hadapan dan mula memimpin pujian. Pemuda itu khususnya menarik perhatian saya dengan senyumannya yang menyenangkan dan wajah yang penuh cinta kepada Tuhan. "I give my all to follow" mereka nyanyikan. 

Lagu-lagu yang dinyanyikan itu sangat menyentuh hati saya walaupun saya dulunya belum pernah menyanyi lagu-lagu itu. Sepanjang pujian dan penyembahan, saya terharu dan berlinangan air mata kerana tersentuh oleh kasih Tuhan dan lirik lagu yang sungguh bermakna.

Antara lirik lagu yang menyentuh hati saya adalah "If the stars were made to worship, so will I...." Setelah kembali di Malaysia, saya menjumpai video lagu itu, "So Will I (100 Billion X)."



Pengkhutbah undangan pada hari itu adalah Pastor Phil Dooley dari Hillsong Afrika Selatan. Dia memulakan khutbahnya dengan soalan yang biasa ditanya orang, "Apakah yang saya akan lakukan sekarang?"

Pastor Phil berkata bahawa kita harus terus bertumbuh dalam hidup kita. Kita harus terus bertumbuh dalam iman, dalam kasih dan dalam visi.

Dia berkata pertumbuhan itu bererti menerima perubahan. Apabila kita bertumbuh, kita tidak lagi akan selesa dengan apa yang dulunya kita biasa. Umpamanya apabila kita bertumbuh, kita tidak lagi akan ingin mengamalkan cara hidup yang lama, mempunyai pergaulan yang lama dan sebagainya.

"When you grow, some things don't fit anymore," begitu kata Pastor Phil.

Pastor Phil Dooley

Pastor Phil juga berkata bahawa apabila kita bertumbuh, kita juga akan bertambah komited. Pastor yang berasal dari Australia itu menceritakan bagaimana pada waktu dia dan isterinya mengumumkan ingin berhijrah ke Afrika Selatan untuk merintis pelayanan, ramai orang dalam gereja menakut-nakutkan mereka dengan berkata, "Tahukah anda bahawa ada banyak kejadian jenayah di Afrika Selatan?"

Pastor Phil berkata kita boleh hidup sebagai penonton dalam kehidupan, tetapi kita juga boleh pilih untuk hidup sebagai peserta yang membawa perubahan. Pertumbuhan bererti perubahan dalam sikap dan komitmen kita dan dengan itu menjadikan kita agen perubahan kepada dunia sekeliling kita.


Akhirnya, Pastor Phil menyatakan bahawa pertumbuhan itu adalah suatu proses, kita tidak akan serta-merta menjadi matang dan berkebolehan dalam hidup. Segala yang kita alami adalah untuk mempersiapkan kita untuk tugasan yang Tuhan telah rencanakan dalam hidup kita.

Apa yang saya dapat ringkaskan dari khutbah Pastor Phil adalah bahawa, "kita harus komited kepada pertumbuhan, dan bertumbuh ke arah komitmen" dan "mengalami perubahan sehingga menjadi agen perubahan."

Begitu banyak bahagian daripada khutbah Pastor Phil yang menyentuh hati saya. Saya rasa tercabar untuk bertumbuh dan berubah sehingga menjadi agen perubahan kepada masyarakat sekeliling.

Hillsong London, suatu pengalaman yang sungguh menyentuh hati dan mengubah kehidupan.

"Kita semua melihat kemuliaan Tuhan tercermin dengan wajah yang tidak berselubung, dan kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan." (2 Kor 3:18, AVB)