Khamis, 3 Januari 2019

Muhibah - Perkahwinan Gereja Dengan Pengapit Perempuan Muslim

Foto dari blog Geng Joyah / Jurufoto: Ariffin Husaini

PETALING JAYA: Satu perkahwinan di Sarawak baru-baru ini dengan jelas menghidupkan konsep kesatuan dalam kepelbagaian dalam satu perkahwinan gereja di mana pengapit-pengapit perempuannya adalah Muslim.

Foto-foto perkahwinan itu, dipercayai telah diambil pada penghujung Disember, memaparkan pasangan Sylvester Voon dan Esther Joseph Kim berkahwin di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.

Kim diiringi enam pengapit perempuan Muslim yang memakai baju kurung merah gelap dan bertudung merah jambu.

Foto oleh Ariffin Husaini

Jurufoto perkahwinan Ariffin Husaini berkata dalam laman Facebooknya bahawa ianya "perkahwinan paling unik 2018".

"Anda tidak dapat melihat ini setiap hari... Ianya adalah perkahwinan gereja, tetapi semua pengapit perempuannya adalah Muslim.

"Berhijab lagi... memang sangat jarang ditemui..." begitu ditulisnya. 

Foto oleh Ariffin Husaini

Ariffin menambah bahawa manakala Kim adalah dari Sarawak, kebanyakan pengapit perempuannya adalah dari Semenanjung.

"Inilah yang kita panggil 1Malaysia... walaupun mereka berbeza bangsa dan agama, ini tidak menghalang sahabat-sahabat karib ini daripada merayakan salah satu hari paling bahagia sahabat mereka," begitu ditulisnya.

Dia berkata ianya adalah amat jarang ditemui dan manis melihat kawan-kawan dari pelbagai bangsa menghormati satu sama lain, dan menyuarakan harapan untuk melihat banyak perkahwinan pelbagai budaya pada masa akan datang. 

Foto oleh Ariffin Husaini

Catitan Facebooknya telah mendapat lebih daripada 800 Like dan telah dikongsi lebih daripada 250 kali pada waktu penulisan artikel ini. 

Ramai yang mengucapkan tahniah kepada pasangan itu dan menyukai foto-foto yang telah diambil oleh Ariffin.

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel The Star bertajuk, "Interracial Harmony: A Church Wedding With Muslim Bridesmaids" yang ditulis oleh Bernard Cheah bertarikh 3 Januari 2018)