Khamis, 14 Mac 2019

7 Bahaya Dalam Mempelajari Teologi


Oleh Chuck Lawless:

Sebelum saya mengatakan apa-apa, saya ingin berikan penjelasan mengenai artikel ini. Saya sangat percaya dalam pembelajaran teologi dan aplikasi Firman Tuhan dalam hidup kita. Artikel ini membicarakan bahaya-bahaya dalam mempelajari teologi, tetapi terdapat juga bahaya-bahaya besar tidak mempelajari teologi. Saya telah dididik di sekolah teologia di mana teologinya boleh dipersoalkan pada waktu itu, tetapi saya seorang profesor teologi hari ini sebab sekolah teologia itu dan yang lain-lain - seperti Southeastern Seminary, di mana saya sedang mengajar - telah kembali kepada Firman sebagai asasnya. Walau bagaimanapun, saya telah bangkitkan bahaya-bahaya mempelajari teologi ini, barangkali untuk menggalakkan ahli-ahli teologi muda untuk mengekalkan keseimbangan dalam pembelajaran mereka.  

1. Lebih jatuh hati dengan pembelajaran teologi berbanding dengan Tuhan yang anda sedang pelajari. Mungkin anda pernah melihat pencinta teologi yang fanatik yang boleh mengatakan dengan panjang lebar mengenai sistem-sistem teologi dan majlis-majlis gereja, tetapi sangat sedikit berkata mengenai mengenali Tuhan dengan sebenarnya dan bertumbuh dalam kasih kurnia-Nya. 

2. Menyamakan pengetahuan teologi dengan kesetiaan. Iaitu anda menghabiskan begitu banyak masa untuk mempelajari teologi, tetapi terlalu sedikit waktu mengaplikasikan teologi itu ke dalam hidup peribadi anda. Pertambahan pengetahuan - biarpun disertai kebolehan untuk menyampaikannya dengan baik - tidaklah sama dengan kesetiaan dan pertumbuhan rohani. 

3. Sibuk berteologi sehingga tidak melaksanakan Amanat Agung. Saya tidak ada keinginan untuk membangkitkan perdebatan teologi dengan artikel ini, tetapi saya tidak dapat membiarkan kerisauan saya mengenai ini: sebarang teologi yang tidak menggerakkan kita untuk memberitakan Kristus kepada jiran-jiran kita dan kepada bangsa-bangsa bukanlah teologi yang alkitabiah.

4. Memisahkan pembelajaran teologi dari gereja lokal. Saya percaya apa yang dilakukan oleh sekolah-sekolah teologi - dan secara jujur, saya suka mempelajari daripada rakan-rakan saya di Southeastern Seminary - tetapi pembelajaran dan pengajaran teologi mestilah berpusatkan gereja lokal. Saya mengenali beberapa orang yang suka berbincang teologi tetapi tidak komited kepada tubuh Kristus tempatan. Ahli teologi yang boleh membincangkan eklesiologi (ilmu teologi mengenai gereja) tanpa memberi diri dan melayani menerusi gereja tidak benar-benar memahami doktrin itu.

5. Menjadi angkuh mengenai pengetahuan teologi anda padahal Alkitab mengajar kita kerendahan hati. Ini senang terjadi sebenarnya. Anda suka topik-topik itu, dan anda meluangkan banyak waktu dalam pembelajaran itu. Orang-orang lain yang tidak memiliki tahap minat yang sama dengan anda pastinya tidak akan tahu sebanyak yang anda tahu - dan cinta anda pada pengetahuan tanpa disedari menjadi cinta pada diri.

6. Memisahkan pengetahuan di kepala dari kepatuhan hati. Mempelajari Firman Tuhan untuk mempelajari pengajarannya haruslah memberi kesan kepada akal dan hati kita; ianya harus mendorong kita dalam kepatuhan kepada Allah yang kudus. Bahayanya adalah anda boleh berkata-kata dengan semangat mengenai dosa pada waktu yang sama membiarkan dosa dalam hidup anda sendiri.

7. Berfikiran bahawa sesiapa pun yang tidak bersetuju dengan anda dalam setiap isu teologi adalah salah. Saya sentiasa menghargai penulisan Albert Mohler mengenai "tahap keutamaan teologi" di mana dia berusaha membantu kita menentukan perkara-perkara tahap pertama yang tidak boleh dirunding dan yang akan memisahkan kita dan perkara-perkara tahap ketiga yang tidak perlu membawa pepecahan. Saya khuatir sebilangan ahli-ahli teologi yang bersemangat menjadikan segala sesuatu isu tahap pertama.

Apakah bahaya-bahaya lain yang anda boleh tambahkan kepada senarai ini?

(Diterjemahkan daripada artikel Chuck Lawless bertajuk, "7 Dangers Of Studying Theology" bertarikh 25 February 2019)