Selasa, 6 Ogos 2019

Mahkamah Tangguh Keputusan Kristian Sabah, Sarawak Guna Kalimah 'Allah'



PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusannya untuk kali ke-6 sama ada orang Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan agama untuk mendidik ahli dalam komuniti mereka.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan lebih banyak masa untuk mencari penyelesaian pentadbiran berhubung isu itu susulan permintaan pihak yang mempertikaikan.

“Perkara itu tidak perlu diteruskan jika penyelesaian pentadbiran dijumpai kedua-dua pihak,” kata Shamsul kepada FMT selepas bertemu Nor Bee di dalam kamarnya bersama peguam Lim Heng Seng yang mewakili penduduk Sarawak, Jill Ireland.

Nor Bee, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menetapkan 4 Okt untuk pihak terbabit mengemas kini kepada beliau mengenai isu itu.

Pada 2008, kastam Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang merampas 8 CD daripada Ireland yang bertajuk “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” dan “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah”.

Ireland, seorang Melanau Kristian, memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula CD dan mencari beberapa pengisytiharan relief.

FMT difahamkan menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen bukan Islam dari negeri Borneo sedang berunding dengan Putrajaya untuk membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agama mereka.

Nor Bee menangguhkan penghakiman tahun lepas, selepas mendengar hujah daripada Lim dan Shamsul pada akhir 2017.

Mahkamah Tinggi pada awalnya menetapkan 22 Mac untuk keputusan itu, tetapi ditangguhkan beberapa kali, yang terakhir adalah 14 Nov 2018.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi mengarahkan Kementerian Dalam Negeri mengembalikan CD kepada Ireland tetapi enggan mengeluarkan pengisytiharan kerana ia terikat oleh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Pada tahun berikutnya, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tetapi mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Ireland untuk mencari relief.

Dia kini mencari perisytiharan bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Sebuah gereja di Sabah juga berusaha mendapatkan hak menggunakan perkataan “Allah” dalam pendidikan agama, dan menulis kepada kerajaan PH untuk membuat keputusan pentadbiran mengenai perkara itu.

Sidang Injil Borneo (SIB), yang mempunyai cabaran undang-undang yang belum selesai, menulis kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mengenai isu itu tetapi hasilnya tidak jelas.

Mahkamah Rayuan juga mengosongkan jadual pendengaran berhubung rayuan SIB mengenai perkara interlokutori.

SIB memfailkan rayuan itu pada 2017 sebagai sebahagian usaha untuk menukar keputusan Mahkamah Tinggi di mana Nor Bee menolak permohonan penemuannya untuk dokumen yang digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk menyokong pengharamannya berhadap hak gereja menggunakan perkataan “Allah”.

Nor Bee memutuskan tidak ada keperluan bagi apa-apa perintah dalam permohonan semakan kehakiman.

(Diambil ddaripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Mahkamah Tangguh Keputusan Kristian Sabah, Sarawak Guna Kalimah 'Allah'" yang ditulis oleh V. Anbalagan bertarikh 5 Ogos 2019)