Ketua gereja Kristian Ortodoks Cyprus dilaporkan menjauhkan
diri dari kontroversi pemberian kewarganegaraan kepada Jho Low.
Cyprus Mail, yang memetik laporan Cyprus Broadcasting
Corporation (CyBC), memetik Ketua Biskop Chrysostomos II yang menafikan dirinya
mempunyai kepentingan peribadi untuk mengesyorkan agar Jho Low berikan
kewarganegaraan pada September 2015.
Ketua biskop itu berkata suratnya kepada Menteri Dalam
Negeri Cyprus Socrates Hasicos ditulis atas permintaan pemaju swasta.
"Dia (pemaju) memberitahu kami dia (Jho Low) membina
rumah-rumah di tanah yang dibeli dari kami [gereja]," kata Chrysostomos.
Untuk memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Rancangan
Pelaburan Cyprus yang disokong oleh kerajaan, akhbar harian Politis Cyprus pada
hari Ahad melaporkan bahawa Jho Low membeli sebuah vila yang belum siap
bernilai lima juta euro (RM23 juta) di Aya Napia pada 23 September 2015.
Dalam laporan muka hadapan semalam, Politis mempersoalkan
peranan Chrysostomos dalam memberi kewarganegaraan kepada Jho Low.
Jho Low |
Laporan itu juga mendakwa ketua biskop itu memaklumkan
Hasicos bahawa Jho Low akan berada di Cyprus pada 18 Sept dan boleh
boleh hadir mesyuarat untuk membincangkan potensi pelaburan di tanah gereja.
Hasicos semalam menggesa kewarganegaraan Jho Low ditarik
semula jika terbukti bahawa ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu telah
melakukan jenayah.
Menulis di Twitter, Hasicos berkata apabila kelulusan
memberikan kewarganegaraan diberikan pada masa itu, polis Cyprus memberitahunya
bahawa Jho Low tidak mempunyai rekod jenayah.
Mengulas lebih lanjut, Chrysostomos memberitahu CyBC bahawa
pemaju memberinya tiga nama untuk disyorkan kewarganegaraan dan gereja tidak
maklum individu mana yang mendapat kewarganegaraan.
Chrysostomos juga mengatakan bahawa tanggungjawab untuk
memberi kewarganegaraan terletak pada pihak berkuasa negeri, walaupun gereja
dapat mengesyorkan individu tertentu.
"Ia dilakukan demi kebaikan Cyprus. Bukan kami (gereja)
yang putuskan untuk beri kewarganegaraan, kami cuma minta," katanya lagi.
Ketua biskop itu mendedahkan bahawa Jho Low juga mendermakan
300,000 euro (RM1.38 juta) kepada sebuah sekolah teologi semasa lawatannya ke
Cyprus.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) percaya bahawa sekurang-kurangnya
AS$4.5 bilion telah disalahgunakan dari 1MDB dan kini sedang bekerjasama dengan
Malaysia untuk mendapatkan semula dana berkenaan.
Bekas perdana menteri Najib Razak sedang menghadapi
perbicaraan berhubung skandal berkenaan sementara Jho Low masih dalam buruan
pihak berkuasa.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Ketua Biskop Tuding Jari Pada Pemaju Isu Kewarganegaraan Jho Low" bertarikh 5 November 2019)