Selasa, 11 Februari 2020

Asal-Usul Gerakan Pentakosta Abad Ke-20


Asal-Usul Gerakan Pentakosta Abad Ke-20

Charles F. Parham

Charles F. Parham

Golongan "Pentakosta" pertama pada zaman modern muncul pada 1901 di kota Topeka, Kansas di sebuah Sekolah Alkitab yang dikendalikan oleh Charles Fox Parham, seorang guru aliran Holiness dan bekas pastor Methodist. Pada Januari 1901, Parham telah menyuruh pelajar-pelajar di Sekolah Alkitab itu mengkaji Alkitab demi mencari bukti alkitabiah berkenaan menerima baptisan Roh Kudus.

Dengan merujuk kisah Pentakosta dalam Kisah Para Rasul fasal dua, mereka membuat kesimpulan bahawa berbahasa roh adalah pengesahan penerimaan Roh Kudus. Dengan itu gerakan Pentakosta telah bermula pada hari-hari pertama 1901 ketika dunia memasuki abad Kedua Puluh.

Agnes Ozman

Agnes Ozman

Orang pertama untuk menerima kepenuhan Roh Kudus adalah Agnes Ozman, salah seorang pelajar Parham di Sekolah Alkitab - dia berbahasa roh pada hari pertama abad yang baru, 1 Januari 1901. Menurut J. Roswell Flower, setiausaha pengasas Assemblies of God, pengalaman Ozman merupakan "sentuhan yang telah dirasakan di sekeliling dunia," peristiwa yang telah "menghasilkan Gerakan Pentakosta Abad Kedua Puluh."

William J. Seymour

William J. Seymour

Namun begitu, hanya sehingga 1906 barulah Pentakostalisme mula mendapat perhatian sekeliling dunia melalui kebangunan rohani Azusa Street di Los Angeles yang dipimpin oleh pastor Afrika-Amerika, William Joseph Seymour. Dia telah mempelajari mengenai baptisan Roh Kudus di sebuah Sekolah Alkitab yang dikendalikan oleh Parham di Houston, Texas pada 1905. Diundang untuk menjadi pastor sebuah gereja Holiness untuk orang-orang berkulit hitam di Los Angeles pada 1906, Seymour telah membuka kebaktian yang bersejarah itu pada April 1906 di sebuah bangunan yang dulunya digunakan oleh Gereja Methodist Episcopal Afrika di 312 Azusa Street di pusat bandar Los Angeles.

Azusa Street Mission


Apa yang terjadi di Azusa Street telah menarik perhatian ahli-ahli sejarah gereja selama berdekad-dekad namun masih lagi tidak dapat difahami dan dijelaskan sepenuhnya. Selama tiga tahun, "Apostolic Faith Mission" di Azusa Street telah mengadakan tiga kebaktian dalam sehari, tujuh hari seminggu, di mana ribuan orang datang untuk mencari dan menerima Roh Kudus.

Khabar mengenai kebangunan rohani itu telah disebarkan ke tempat-tempat lain melalui "The Apostolic Faith", sebuah akhbar yang dihantarkan secara percuma oleh Seymour kepada 50,000 orang yang berdaftar. Dari Azusa Street, kebangunan rohani itu merebak ke sekeliling Amerika Syarikat.

Foto berkumpulan di Azusa Street

Aspek kepelbagaian kaum gerakan itu di Los Angeles adalah perbezaan nyata dari perkauman dan pemisahan antara kaum pada zaman itu. Fenomena orang-orang berkulit hitam dan putih beribadah bersama di bawah pimpinan seorang pastor berkulit hitam kelihatan menakjubkan kepada ramai pemerhati. Ciri kebaktian itu telah dinyatakan oleh Frank Bartleman, seorang peserta Azusa berkulit putih, "Garis pemisah di antara warna kulit telah dibasuh dengan darah (Kristus)." Sesungguhnya, orang ramai dari semua golongan etnik minoriti di Los Angeles, kota yang dinamakan Bartleman sebagai "Yerusalem Amerika," telah mengambil bahagian di Azusa Street.

Alunan pertama pengunjung ke Azusa telah pergi ke sekeliling Amerika Syarikat dan menyebarkan api Pentakosta itu terutamanya di kalangan gereja-gereja, misi-misi dan pertemuan-pertemuan kem Holiness. Untuk suatu tempoh, ramai memikirkan bahawa adalah perlu untuk berkunjung ke California untuk menerima "berkat" itu. Bagaimana pun, tidak lama kemudian, orang-orang menerima Roh Kudus di mana pun mereka tinggal.

Gerakan Pentakosta Hari Ini


Gerakan Pentakosta adalah gerakan keagamaan yang jauh paling besar dan penting dalam abad kedua puluh. Bermula pada 1901 dengan beberapa pelajar Sekolah Alkitab di Topeka, Kansas, bilangan umat Pentakosta telah bertambah secara berterusan di sekeliling dunia pada Abad Kedua Puluh sehinggalah pada 1993, mereka telah menjadi kelompok terbesar Protestan. Pada tahun 2000, telah dianggarkan terdapat 560 juta orang Pentakosta di dunia.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Christian Assemblies International bertajuk, "History of the Pentecostal Movement")