Jumaat, 13 Mac 2020

Tiga Gereja Lagi Hentikan Kebaktian


PETALING JAYA: Tiga gereja di Lembah Kelang telah menghentikan kebaktian untuk sekurang-kurangnya dua minggu oleh kerana wabak Covid-19.

Full Gospel Assembly (FGA), di Kuala Lumpur, dan Glad Tidings dan SIBKL, di Petaling Jaya mengumumkan ini hari ini berikutan nasihat kementrian kesihatan semalam untuk mengelakkan pertemuan beramai-ramai memandangkan gejala virus itu.

Penatua FGA, Liew Hoi Foo berkata kebaktian-kebaktian akan dihentikan sehingga hujung Mac, dan kebaktian-kebaktian yang telah dirakam akan dimuatnaik secara online.

Dia berkata pertemuan mingguan kelompok "Life Group" di kalangan ahli-ahli gereja juga telah dihentikan sehingga hujung bulan.

"Kami memahami ini adalah tempoh yang penuh cabaran tetapi kami percaya bahawa tindakan yang paling bijak dan bertanggungjawab adalah untuk menghentikan semua kebaktian dan pertemuan yang biasanya diadakan di bangunan FGA dan juga lokasi-lokasi Life Group untuk hari-hari selanjutnya bulan ini.

"Keputusan ini akan dinilai semula dan dikemaskinikan sewajarnya sambil kami memantau keadaan secara rapi," katanya dalam satu kenyatan.

Dalam satu kenyataan, pastor Glad Tidings, Vincent Leoh berkata gereja akan membuat siaran langsung secara online untuk hujung minggu ini dan yang seterusnya, dan menambah bahawa langkah ini hanyalah sementara. 

SIBKL telah mengumumkan pemberhentian kebaktian-kebaktiannya sehingga hujung Mac, dan akan juga menggunakan kaedah siaran langsung secara online. 

"Sebagai pasukan kepimpinan, kami sangat menyedari apa yang sedang berlaku. Kami ingin proaktif dan menjelaskan bagaimana kita boleh bertanggungjawab secara sosial dan memberi respon dengan iman, sebagai sebuah gereja," pastor senior Dr Chew Weng Chee mengatakan dalam satu kenyataan.

Lebih awal hari ini, Perlis telah membatalkan sembahyang Jumaat di masjid-masjid di seluruh negeri menurut titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Gereja Katolik Semenanjung juga telah menghentikan semua misa sehingga hujung bulan ini.

(Diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Three More Churches Suspends Services" bertarikh 13 Mac 2020)