KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri berusia yang telah merantau dari Sabah untuk menyampaikan Injil Tuhan di Madagascar telah kedua-duanya meninggal dunia akibat Covid-19.
Francis Liaw Yuk Yen, 73, telah meninggal dunia pada 5 Ogos, tiga minggu selepas isterinya Lily Chin Tsen Yun, 70 tewas pada virus itu pada 14 Julai.
Mereka meninggalkan tiga orang anak yang kerana sekatan perjalanan masih dikenakan dengan sedihnya tidak dapat menghadiri pengkebumian mereka.
Pada 6 Ogos, satu kebaktian peringatan telah diadakan di kediaman salah seorang daripada anak perempuan mereka di sini dihadiri oleh ahli-ahli keluarga terdekat dan pemimpin-pemimpin gereja..
Semua hadirin menitiskan air mata ketika gereja memberikan penghormatan atas kehidupan dan pelayanan mereka di Madagascar.
"Amat sedih bagi kami dalam komuniti Kristian - tetapi lebih lagi bagi tiga anak mereka dan keluarga-keluarga mereka di sini," kata Bishop James Wong dari Gereja Kristian Basel Malaysia.
Dia berkata pasangan itu telah diutus untuk melakukan kerja misionari di kalangan orang-orang Cina di Madagascar dari 2004 lagi.
Liaw yang telah diletakkan di bawah kuarantin dua minggu berikutan kematian isterinya, jatuh sakit sementara bersiap membawa abu isterinya kembali ke tanah air.
Liaw masih meletak harapan tinggi dan menerima rawatan untuk jangkitan virus itu tetapi pada 5 Ogos, gereja menerima berita mengenai kematiannya, menurut laporan The Star.
Wong dilaporkan mengatakan bahawa gereja telah merancang membawa Liaw kembali ke Sabah dalam penerbangan terawal mungkin selepas dia dibenarkan keluar daripada hospital.
"Tetapi malangnya, dia telah meninggal dunia," kata Wong, dengan menambah bahawa mereka bergantung pada kakitangan gereja di Madagascar untuk membawa abu pasangan suami isteri itu kembali ke tanah air.
Mengenang kembali hari-hari sebelum kematiannya, Wong berkata semua orang merasa gembira apabila dia berkongsi fotonya meminum kopi semasa beristirahat di hospital.
"Dia tersenyum dan menunjukkan bahawa keadaannya semakin baik," dia berkata sambil menambah bahawa berita kematiannya mengejutkan semua orang.
"Gereja dan keluarganya ingin merakamkan terima kasih mereka kepada Willy Andriambelo, Wakil Kehormat Malaysia di Madagascar," kata Wong.
"Dia amat menunjukkan kasih dan sokongannya dan telah menyediakan segala bantuan yang perlu semasa pengkebumian pasangan itu," kata Wong.
(Diterjemahkan daripada artikel Borneo Today bertajuk, "Covid-19 Claims Couple On Mission Of Love" bertarikh 8 Ogos 2020)