Isnin, 3 Ogos 2020

Punca Kluster Bukit Tiram Berkaitan Gereja Katolik Mungkin Dari Filipina


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan jangkitan kluster Bukit Tiram berpunca daripada pelajar yang baru pulang dari Filipina.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya sedang menyiasat kemungkinan tersebut.

“Ada dua pelajar yang kita lihat pada kluster Bukit Tiram yang kembali dari Filipina.

“KKM masih dalam siasatan tetapi besar kemungkinan jangkitan adalah daripada salah seorang pelajar tersebut dan menjangkiti yang lain," katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata satu kes kluster Bukit Tiram di luar Johor juga telah dilaporkan iaitu di Selangor.

Beliau berkata, kebimbangan KKM kini adalah berkaitan komuniti Roman Katolik di sebuah gereja di Johor, namun pihak kementerian telah menjalankan saringan sasaran terhadap mereka.

"Bagaimanapun tiada pertambahan kes kluster baru sejak dua tiga hari ini. 

"Jadi, dalam pemantauan KKM, kita akan memasukkan golongan Gereja Roman Katholik dalam kategori saringan sasaran KKM.

"Kaedah sama dilaksanakan untuk sekolah tahfiz dan juga jemaah tabligh," katanya.

(Dipetik daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Punca Kluster Bukit Tiram Mungkin Dari Filipina - KKM" yang ditulis oleh Shakira Buang bertarikh 3 Ogos 2020)