Selasa, 6 Oktober 2020

Gereja Katolik Tangguh Himpunan Di Selangor dan KL Bermula Esok


PETALING JAYA: Gereja Katolik hari ini bertindak menangguhkan semua program himpunan pada hujung minggu dan hari bekerja di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor bermula esok susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Archbishop Kuala Lumpur Julian Leow Beng Kim tidak memberikan tempoh yang tetap, namun berkata penangguhan itu akan disemak semula sebelum 20 Oktober depan.

Beliau berkata, gereja-gereja di seluruh Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu, bagaimanapun, dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perhimpunan. Namun, peserta himpunan dinasihati melakukan pra-pendaftaran terlebih dahulu.

“Siaran langsung himpunan massa ini akan diteruskan demi kebaikan mereka yang tidak dapat menghadiri himpunan massa ini secara langsung.

“Pengikut Katolik yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor pula diminta untuk tidak melakukan perjalanan rentas negeri untuk menghadiri himpunan massa, bagi mengelakkan risiko penularan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Julian turut memaklumkan, sebarang acara perkahwinan perlu ditangguhkan jika perlu atau mengehadkan majlis berkenaan hanya kepada ahli keluarga terdekat atau tidak melebihi 20 orang, sekiranya tidak dapat ditangguhkan.

Selain itu, katanya, majlis pengebumian juga hanya boleh dihadiri ahli keluarga dan tidak melebihi dari 20 orang.

Manakala, mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak Covid-19, tidak dibenarkan untuk menghadiri sebarang acara itu.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Gereja Katolik Tangguh Himpunan Di Selangor dan KL Bermula Esok" bertarikh 6 Oktober 2020)