Menurutnya, sama ada seseorang itu Muslim, penganut agama
lain - termasuk yang melantik banyak Tuhan, tidak beragama, atau ateis yang
tidak percaya akan adanya Tuhan - tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan
Allah dalam bentuk ucapan atau tulisan.
Bahkan, kata Abdul Hadi, ia turut merangkumi orang yang
berpelajaran tinggi, orang yang paling bodoh, buta huruf, bahkan orang yang
paling gila dan tidak siuman serta tidak mempunyai akal langsung.
“Jangan sekali-kali melarang mereka daripada menyebutkan
perkataan Allah,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS di Facebooknya hari
ini.
Kata Abdul Hadi, memang terdapat agama lain selain Islam
yang menggunakan perkataan Allah seperti contohnya masyarakat Arab yang bukan
Islam.
Namun, katanya, penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama
yang percaya kepada Tuhan selain Allah tidak menepati maksud sebenar kalimah
berkenaan.
Hal tersebut kerana kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur
Tengah itu maksud Allah dalam bahasa Arab bukan semata-mata Tuhan, tetapi
mempunyai lebih luas yang tidak dapat diterjemah secara tepat ke dalam bahasa
lain.
“Jika penganut setiap agama menyebutkan perkataan Allah
mengikut kepercayaan masing-masing akan adanya Allah (Tuhan), itu adalah hak
kebebasan beragama,” katanya lagi.
Pun begitu, katanya, perlu juga dilihat pada tujuan
penggunaannya, bukan sekadar lafaz dan ungkapan semata-mata.
Jangan sentuh sensitiviti
Jika kalimah Allah itu mahu digunakan bertujuan untuk
mengelirukan atau menghina penganut Islam, kata Abdul Hadi, maka harus ada
sempadan dan hukumnya.
“Begitulah kalau diizinkan kepada hospital sakit jiwa yang hendak
menghargai dan menggembirakan bekas pesakit yang telah mendapat rawatan dengan
mengurniakan ijazah yang membawa gelaran profesor.
“[...] Apakah perasaan yang sebenar dalam kalangan ilmuwan,
sekiranya gelaran itu diberikan kepada orang-orang yang sedemikian?
“Andai kata kalau perkataan Allah dijadikan jenama kasut
yang dipijak, adakah atas nama kebebasan, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
boleh membenarkan ia berlaku?
“Bagaimana pula makanan yang diharamkan terhadap penganut
Islam seperti daging babi, diletakkan namanya dengan perkataan ikan halal,
adakah ia boleh dibenarkan atas nama kebebasan?” soalnya, beranalogi.
Begitupun, kata Abdul Hadi, Islam melarang penganutnya
menyentuh sensitiviti penganut agama lain yang boleh menimbulkan ketegangan dalam
kalangan masyarakat majmuk, selain membawa konsep kebebasan beragama mengikut
sempadan tertentu.
“Di sini semua pihak perlu meletakkan kebijaksanaan
masing-masing dan menjaga sensitiviti dalam konteks masyarakat majmuk mengikut
sempadannya yang sebenar dan secara saksama,” katanya lagi.
Kelmarin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa
kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah
"Allah" kepada orang bukan Islam pada 1986.
Justeru mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian
yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah "Allah" untuk
tujuan keagamaan dan pendidikan.
Susulan itu, adalah diputuskan bahawa penganut agama
Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan
Arab lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.