Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mahu menganjurkan demonstrasi jalanan bagi memprotes keputusan mahkamah berhubung isu kalimah Allah, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
Abdul Hamid berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh masyarakat bukan Islam harus
dihormati semua pihak.
“Sekiranya kita tidak hormati keputusan mahkamah maka hancur
negara ini dan perlu diingatkan mahkamah diberikan kebebasan membuat keputusan
yang difikirkan tepat mengikut perlembagaan.
“Kalau mahu mahkamah buat keputusan mengikut citarasa kita
saja tidak adil dan jika masih tidak puas hati buat proses rayuan atau bawa
perkara ini ke parlimen, buatlah undang-undang apapun bukannya ambil langkah
turun ke jalan," katanya seperti dilaporkan FMT.
Abdul Hamid berkata tindakan yang akan diambil pihak polis
terhadap mereka termasuk menggunakan Akta Hasutan.
“Saya beri nasihat dan amaran agar tidak meneruskan hasrat
turun ke jalan tetapi jika masih degil kita akan ambil tindakan berdasarkan
undang-undang sedia ada termasuk mengikut Akta Hasutan,” katanya.
Pada Rabu lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nor Bee
Ariffin memutuskan bahawa
kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan
kalimah "Allah" pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.
Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh
Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat
perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii,
berkata umat Islam sedia ke turun jalan raya sekiranya kerajaan gagal
bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.
"Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mengajar
kerajaan sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan.
"Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi
mempertahankan kalimah suci ini.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kalimah Allah: Tindakan Akan Diambil Jika Turun Ke Jalan - IGP" bertarikh 12 Mac 2021)