Khamis, 11 Mac 2021

Kalimah Allah: Tindakan Susulan Diputus Selepas Terima Hujah Bertulis Mahkamah, Kata KDN


PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat keputusan mengenai tindakan susulan berhubung isu kalimah “Allah” selepas menerima hujah penghakiman bertulis daripada mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan dalam membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrance Bill, seorang penganut Kristian dari Sarawak, untuk menggunakan kalimah itu dalam pendidikan agamanya.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin,  berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan mahkamah berkaitan isu kalimah Allah dan hal lain yang dibawa oleh Ireland.

“KDN akan memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan selepas menerima hujah penghakiman secara bertulis dari pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahupun tafsiran sendiri ke atas keputusan tersebut dan meminta semua pihak untuk menghormati proses perundangan dan kehakiman negara,” katanya.

Selain kalimah Allah, keputusan mahkamah itu turut menyentuh larangan ke atas penggunaan “Baituallah”, “Solat”, dan “Kaabah”.

Hakim Noor Bee Ariffin berkata arahan KDN sebelum ini melarang penganut bukan Islam menggunakan empat perkataan itu, adalah tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kalimah Allah: Tindakan Susulan Diputus Selepas Terima Hujah Mahkamah, Kata KDN" bertarikh 11 Mac 2021)