Jumaat, 8 Oktober 2021

10 Hal Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Mengangkat Tangan Dalam Penyembahan


Mengangkat tangan adalah sebahagian daripada penyembahan di banyak gereja. Penyembahan melibatkan tubuh kita serta juga hati dan minda kita. Kedudukan tubuh kita mengisahkan sesuatu. Ianya menyatakan kepada Tuhan dan kepada orang lain keadaan jiwa kita serta perasaan dan cinta hati kita.

Jika anda mengunjungi Bridgeway, anda akan dengan cepat menyedari betapa bebasnya dan kerapnya kami mengangkat tangan apabila kami menyembah. Anda akan melihat sebilangan orang berlutut. Ada juga sebilangan yang duduk sepanjang perjalanan kebaktian, samada atas pilihan sendiri atau kerana kekangan fizikal. Ada yang berdiri sahaja. Dan ya, ada yang menari juga. Tetapi oleh kerana waktu dan ruangan, saya tidak akan menyebut mengenai kedudukan-kedudukan yang lain, dan menghadkan ulasan saya mengenai mengangkat tangan dan kepentingannya dalam menyembah.

10 Nota Mengenai Mengangkat Tangan Dalam Ibadah

1. Contoh-Contoh Alkitabiah 

Saya megangkat tangan apabila saya berdoa dan memuji Tuhan kerana saya mempunyai contoh-contoh Alkitabiah yang jelas untuk melakukannya. Lihatlah beberapa contoh ini (dari Alkitab Versi Borneo).

"Demikian aku akan memuji-Mu seumur hidupku, aku akan menadah tanganku dengan nama-Mu." (Mazmur 63:4)

"Dengarlah suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu, apabila aku mengangkat tangan ke arah khemah suci-Mu." (Mazmur 28:2)

"Ya Tuhan, aku telah berseru kepada-Mu setiap hari; aku telah menghulurkan tanganku kepada-Mu." (Mazmur 88:9)

"Angkatlah tanganmu di tempat suci dan pujilah Tuhan." (Mazmur 134:2)

"Ya Tuhan, aku berseru kepada-Mu; segeralah datang kepadaku. Dengarlah suaraku apabila aku berseru kepada-Mu. Biarlah doaku hadir di hadapan-Mu sebagai setanggi; penadahan tanganku sebagai korban persembahan petang." (Mazmur 141:1-2)

2. Penyembahan - dan Doa

Jika ada sesiapa yang ingin membantah bahawa hanya ada beberapa ayat diatas menyebut mengenai penyembahan (lihat Mazmur 63:4, 134:2), tetapi yang lainnya mengenai doa (seolah-olah ada sesuatu perbezaan yang kaku di antara keduanya; sesungguhnya saya tidak ingat pernah menyembah Tuhan tanpa berdoa kepada-Nya; dan doa itu dengan sendirinya adalah sebahagian daripada penyembahan).

3. Penyembahan dengan Seluruh Tubuh

Kekristianan yang Alkitabiah merayakan reaiti fizikal penciptaan Tuhan (jelas sekali Dia menyatakan ianya "baik" dalam Kejadian 1). Kita adalah lebih dari mahkluk rohani. Kita adalah jiwa di dalam tubuh, dan sepatutnya untuk menyembah Tuhan dengan seluruh keberadaan kita. Kita harus "memuliakan" Tuhan dengan tubuh kita. Kita harus "mengasihi" Tuhan dengan tubuh kita. Dengan tubuh kita, kita harus "mendeklarasikan" kebesaran-Nya. 

Paulus menyatakan dengan tepat sekali ketika mendorong kita untuk mempersembahkan "tubuh badan kita sebagai korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah" yang merupakan "ibadah yang sejati" (Roma 12:1)

4. Tangan Kita Menyatakan Suara Hati

Tangan manusia adalah pernyataan yang jelas dari banyak kepercayaan, perasaan dan niat hati kita.

Tangan kita menyatakan sesuatu dengan lantang. Ketika marah, kita akan menggenggam tangan kita, mengancam untuk memukul orang lain. Ketika rasa bersalah, kita akan menyembunyikan tangan kita atau menyembunyikan bukti kesalahan kita daripada dilihat. Ketika rasa tidak aman, kita duduk di atas tangan untuk menutupi rasa dalaman kita. Ketika bimbang, kita memegang dan memutar-mutar tangan. Ketika takut, kita menutupi muka dengan tangan atau memegang erat seseorang lain untuk perlindungan. 

Ketika terdesak atau kecewa, kita akan melontarkan tangan tanpa arah. Ketika keliru, kita menghulurkan tangan dengan penuh tanda tanya, seolah-olah meminta nasihat atau arah. Ketika merasa ramah, kita menggunakan tangan untuk menyambut orang lain di sekeliling kita. Ketika penuh syak wasangka, kita menggunakan tangan untuk menjauhkan orang dari mendekati kita, atau menudingkan jari yang menuduh terhadap orang itu. 

5. Penyerahan Hidup

Saya mengangkat tangan ketika saya menyembah kerana seperti seseorang yang tunduk kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi, saya menyerah kepada kehendak dan cara-cara Tuhan serta tunduk kepada pimpinan, kuasa dan tujuan-Nya dalam hidup saya. Itulah cara saya menyatakan, "Tuhan, aku milik-Mu, lakukanlah seperti yang Kau inginkan."

6. Keterbukaan

Saya mengangkat tangan ketika saya menyembah seperti seseorang yang menyatakan keterbukaan yang sesungguhnya, saya menyatakan kepada Tuhan, "Aku tidak ada apa-apa untuk disembunyikan. Aku datang dengan tangan terbuka, tanpa menyembunyikan apa-apa. Hidupku siap diperiksa dan disucikan oleh-Mu. Saya tidak menahan balik apa-apa. Hati, jiwa, roh, tubuh dan kehendakku adalah terbuka kepada-Mu." 

7. Pengharapan Penuh

Saya mengangkat tangan ketika saya menyembah kerana seperti seseorang yang memerlukan pertolongan, saya mengakui pengharapan saya yang sepenuhnya kepada Tuhan. Saya berseru, "Oh Tuhan, Aku mempercayakan hidupku kepada-Mu. Jika Engkau tidak memegang dan mengangkatku, aku pasti akan tenggelam dalam jurang dosa dan maut. Aku meletakkan pengharapan hanya dalam kekuatan-Mu. Lindungilah aku, kuatkan aku dan selamatkan aku."  

8. Dalam Kedudukan Menerima

Saya mengangkat tangan ketika saya menyembah kerana seperti seseorang yang dengan gembira dan sedia menerima sesuatu pemberian daripada orang lain. Saya menyatakan kepada Tuhan, "Bapa, aku dengan penuh syukur menyambut segala yang Engkau ingin berikan. Aku pengemis rohani. Aku tiada apa-apa untuk ditawarkan selain keperluanku untuk segala yang daripada Diri-Mu untukku dalam Yesus."

9. Menunjuk Ke Arah Juruselamat

Saya mengangkat tangan ketika saya menyembah kerana seperti seseorang yang ingin mengalihkan perhatian daripada diri kepada Juruselamat, saya menyatakan, "Oh Tuhan, kepada-Mulah kemuliaan, kepada-Mulah kuasa, dan hanya kepada-Mulah keagungan!" 

10. Sebagai Kesayangan Tuhan

Saya mengangkat tangan ketika saya menyembah kerana seperti seseorang yang kesayangan Tuhan, saya mengucapkan dengan lembut dan intim kepada Kekasih jiwaku: "Abba, peganglah aku. Lindunglah aku. Bukalah hati-Mu kepadaku. Akulah milik-Mu! Engkaulah milikku! Datanglah mendekat kepadaku dan bantulah aku untuk mengenal dan merasakan kasih di dalam hati-Mu untuk jiwa yang berdosa ini." 

Penutup

Selama bertahun-tahun dahulu saya telah meletakkan tangan saya di sisi dengan kaku atau tersembunyi dengan selamat dalam kocek seluar, saya tahu tiada sesiapa yang akan memperhatikan pujian saya kepada Tuhan atau doa-doa saya yang terdesak. Tiada sesiapa yang akan menganggap saya fanatik! Saya berasa dalam keadaan terkawal, penuh kehormatan, memiliki pengetahuan lebih tinggi dan lebih dari segalanya, selamat. Semuanya ini tidak lagi penting bagi saya.

Apa yang penting bagi saya sekarang adalah bahawa Tuhan boleh memiliki segalanya dari diriku: fikiran, kehendak, kaki, mata, telinga, lidah, kasih, dan ya, tanganku.

Adakah anda mengangkat tangan ketika menyembah Tuhan? Kenapakah tidak?

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Church Leaders bertajuk, "10 Things You Should Know About Lifting Of Hands In Worship" yang ditulis oleh Sam Storms bertarikh 22 Julai 2021)