Sabtu, 16 Oktober 2021

7 Ketika Bila Yesus Berdoa

Bolehkah kita mempelajari mengenai doa dengan memperhatikan bila Yesus berdoa?


Tiada waktu yang tidak bagus untuk berdoa, kecuali mungkin berdoa dengan suara kuat ketika konsert atau tayangan filem diadakan. Tetapi secara umumnya, doa sesuai untuk setiap ketika. Begitupun, ada waktu-waktu apabila kita mungkin tidak secara automatik berdoa, walaupun kita mungkin seharusnya melakukannya.

Baru-baru ini saya mengambil beberapa waktu untuk mengimbas beberapa ketika di mana Alkitab mengisahkan Yesus sedang berdoa, untuk melihat jika dengan memperhatikan bila Dia berdoa dapat menunjukkan kita sesuatu. 

1) Pada Ketika Yang Istimewa

Kisah Lukas mengenai baptisan Yesus oleh sepupunya, Yohanes melibatkan suatu butiran yang sering terlepas pandang. Ianya mengatakan, "Ketika semua orang dibaptiskan, Yesus pula dibaptiskan. Ketika Dia berdoa, langit terbuka" (Lukas 3:21). Tentunya Yesus sedang berdoa ketika Dia dibaptis; ianya ketika yang istimewa. Ianya peristiwa yang penting dan dengan itu waktu yang paling sesuai dan sempurna untuk berdoa. Seperti bagi-Nya, begitu juga bagi kita, baptisan, cuti perayaan, perkahwinan, pengkebumian, ulang tahun dan lain-lain peristiwa yang menawarkan peringatan dan ketika untuk berdoa.

2) Ketika Musim Menghadapi Cabaran

Kita tentu sekali tahu selepas baptisan-Nya, Yesus memasuki gurun Yehuda untuk dicubai oleh Iblis. Di situ dia berdoa dan berpuasa selama 40 hari dan malam (lihat Matius 4. Markus 1, Lukas 4). yang kemungkinan telah menyumbang kepada kejayaan-Nya ke atas godaan. Begitu juga ketika kita berhadapan dengan musim yang penuh cabaran - menyesuaikan diri kepada pekerjaan baru, menyediakan diri untuk siri sesi rawatan yang baru dan sebagainya - doa boleh menolong kita menghadapi dan menangani cabaran. 

3) Sebelum Keputusan Yang Besar

Pada malam sebelum Yesus memilih 12 murid-Nya yang terdekat, Yesus "semalam-malaman berdoa kepada Allah" (Lukas 6:12, AVB). Keputusan yang begitu penting telah mendorong sesi doa semalaman. Berapa kerapkah kita cuba menghadapi waktu-waktu yang penting seperti ini secara diri sendiri, dan bukan berpaling kepada Tuhan untuk hikmat dan bimbingan?

4) Ketika Merindukan Seseorang

Alkitab menyebut tentang Yesus sering "beredar ke tempat yang sunyi dan berdoa" (Lukas 5:16, AVB). Dia kemungkinan memerlukan masa beristirahat daripada orang ramai yang mengerumuni-Nya, tapi kita mungkin dapat membayangkan jika Dia merindukan jenis persekutuan syurgawi dengan Bapa yang telah dinikmati-Nya sebelum mengambil bentuk manusia. Apapun, kita dapat mempelajari daripada Yesus bahawa doa di tempat yang sunyi boleh mengurangkan kesunyian kita ketika merindukan  seseorang.

5) Bersama Dengan Orang Lain

Injil Lukas memberitahu mengenai suatu ketika bila Yesus "membawa Petrus, Yohanes dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa" (Lukas 9:28). Pada ketika itu, tiga sahabat terdekat Yesus berada di situ untuk melihat-Nya bertemu dengan dua lagi sahabat - Elia dan Musa! Begitu juga, sesetengah waktu doa yang paling mentransformasikan bagi kita adalah ketika kita berdoa dengan orang-orang lain - mungkin di gereja, di dalam sebuah kelompok kecil, mahupun di sebuah kafe di tepi jalan. 

6. Ketika Dalam Keperluan

Sesi doa Yesus di Taman Getsemani tentu sekali merupakan yang paling menyayat hati, juga paling terdesak (lihat Lukas 22:40-44). Pengisahan Alkitab mengenai peristiwa ini (dalam keempat-empat Injil) memberikan suatu gambaran menakjubkan mengenai Anak Allah dan Anak Manusia dalam keperluan dahsyat dan mendesak. Kita mungkin tidak akan berhadapan dengan "detik Getsemani" yang seperti ini, tetapi Alkitab menggesa kita untuk "pohonlah sentiasa dengan segala doa dan rayuan dalam Roh" (Efesus 6:18, AVB), menyerahkan keperluan kita, kecil atau besar di hadapan Tuhan. 

7. Ketika Dalam Kesakitan

Yesus berdoa berkali-kali ketika dalam kesakitan di atas kayu salib. Dia berseru dalam keadaan terdesak, menyebut daripada petikan Mazmur yang mengisahkan seluruh kisah penderitaan-Nya (Lukas 23:34). Dan Dia mengucapkan doa penyerahan diri-Nya ke dalam tangan Bapa (lihat 23:46). Kita mengikuti teladan-Nya ketika kita berdoa semasa kesakitan - walaupun doa-doa kita tidak tersusun indah dan tak jelas.

Tujuh ketika ini apabila Yesus berdoa boleh menolong kita, sambil kita melihat keadaan dan kesempatan untuk berdoa adalah di sekeliling kita, di manapun kita pergi dan apapun yang kita lakukan. 

(Diterjemahkan daripada artikel Guideposts bertajuk, "7 Moments When Jesus Turned To Prayer" yang ditulis oleh Bob Hostetler bertarikh 10 Oktober 2021)