Selasa, 19 Oktober 2021

'Mengizinkan Penganiayaan Keagamaan': Apple Menuruti Arahan Rejim Komunis China, App Al-Quran dan Alkitab Ditarik


Apple menuruti arahan rejim di China untuk menarik balik aplikasi Al-Quran dan Alkitab daripada App Storenya di situ - usaha terbaharu untuk menindas aktiviti keagamaan di negara komunis itu.

Apple Censorship melaporkan dalam satu tweet bahawa aplikasi-aplikasi, Quran Majeed, dan Bible App oleh Olive Tree, telah diturunkan. 

Pegawai-pegawai China mendakwa bahawa aplikasi-aplikasi itu telah melanggar undang-undang yang melarang penggunaan teks atau bahan-bahan keagamaan. 

Seorang jurucakap dari Olive Tree memberitahu Washington Examiner, "Kami sedang meneliti syarat-syarat untuk mendapatkan permit yang diperlukan dengan harapan kami dapat mengembalikan app kami ke App Store China dan dapat terus mengedarkan Alkitab di seluruh dunia."

Pengusaha Quran Majeed, Pakistan Data Management Services (PDMS), berkata dalam satu kenyataan, "Menurut Apple, app kami Quran Majeed telah ditarik dari App Store China kerana ianya termasuk kandungan yang memerlukan kelulusan tambahan dari pihak berkuasa China. Kami sedang berusaha menghubungi Cyberspace Administration of China dan pihak-pihak berkuasa China yang berkaitan untuk menyelesaikan isu ini. 

Council of American-Islamic Relations (CAIR), sebuah kumpulan dukungan Islam yang berpusat di Washington, menuduh Apple mengizinkan genosid dan menyeru agar syarikat itu menarik balik keputusannya.

"Dengan menuruti arahan Parti Komunis China untuk menarik applikasi Alkitab dan Al-Quran dari platformnya di China, Apple sedang mengizinkan penganiayaan keagamaan, termasuk genosid yang berterusan Muslim Uyghur. Keputusan ini mestilah ditarik balik," kata Edward Ahmed Mitchell, timbalan pengarah kebangsaan CAIR.

Dia menambah, "Jika syarikat-syarikat Amerika tidak mempunyai ketegasan dan berhadapan dengan China sekarang, mereka mengalami risiko akan tertakluk kepada kehendak kuasa besar fasis sepanjang abad akan datang. 

Seperti yang dilaporkan CBN News sebelum ini, kerajaan China telah memperhebatkan langkah-langkah ekstrim sejak beberapa tahun lepas untuk menekan kumpulan-kumpulan agama di negara itu.

Kerajaan Komunis itu telah menghentikan akses kepada akaun-akaun WeChat Kristian pada bulan Mei, dengan memberitahu pengguna-pengguna bahawa akaun-akaun itu telah melanggar "Peraturan Pengurusan Perkhidmatan Maklumat Akaun Pengguna Awam Internet" (Internet User Public Account Information Services Management Provisions) dan bahawa akaun-akaun itu telah "disekat dan digantung" penggunaannya.

Aplikasi-aplikasi lain Alkitab telah dikeluarkan daripada App Store China dan versi hard copy tidak dapat dibeli lagi secara online. 

(Diterjemahkan daripada artikel CBN News bertajuk, "'Enabling Religious Persecution': Apple Obeys China's Communist Regime, Quran and Bible Apps Remved" yang ditulis oleh Andrea Morris bertarikh 17 Oktober 2021)