Khamis, 27 Oktober 2022

Ahli Teologia Amerika-Kanada Yang Disayangi, Gordon Fee Meninggal Dunia Pada Usia 88


Sarjana dan ahli teologia Perjanjian Baharu yang terbilang, Gordon Fee telah meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Dia meninggal dunia pada hari Selasa, 25 Oktober, di rumahnya di New York City.

Fee telah dilahirkan di Ashland, Oregon, pada 1934, kepada seorang pengkhutbah Pentakosta, Donald Horace Fee, dan Grace Irene Jacobson. Dia kemudian telah menjadi seorang pastor yang bertauliah dalam denominasi Pentakosta, Assemblies of God. Setelah beberapa tempoh sebagai pengajar di universiti-universiti Kristian di Amerika Syarikat, dia dan isterinya, Maudine telah berpindah ke Vancouver di mana dia telah mengajar di Regent College selama 16 tahun. Fee telah dinamakan Profesor Emeritus Perjanjian Baharu di Regent.

Dia amat terkenal oleh penulisannya yang banyak, termasuk beberapa buku komentari Penjanjian Baharu. Dia juga dianggap seorang pakar Pneumatologi (pengajian mengenai Roh Kudus) dan kritikan teks Perjanjian Baharu. Antara karya-karyannya yang penting termasuklah buku How to Read the Bible for All Its Worth. Buku itu mendapat 2,000 ulasan di Amazon dengan 75 peratus daripadanya memberi penilaian 5 bintang. Buku itu memperkenalkan penafsiran Perjanjian Baharu kepada orang-orang biasa, membincangkan topik-topik seperti genre, eksegesis dan hermeunetik.



Fee telah berkhidmat sebagai ketua editor siri New International Commentary sehingga 2012, dan telah bertugas dalam jawatankuasa penilaian semula NIV yang telah menghasilkan terjemahan Today's New Interntional Version of the Bible.

"Selain daripada kebolehannya sebagai seorang sarjana alkitabiah, dia adalah pengajar dan penceramah konferensi yang terbilang," Regent College menyatakan mengenai Fee di laman fakulti mereka.

"Dia telah menyampaikan syarahan Staley Distinguished Christian Scholar di lima belas kolej serta syarahan-syarahan tahunan Perjanjian Baharu di Southwestern Baptist Seminary, North Park Seminary, Mennonite Brethren Biblical Seminary, Canadian Theological Seminary, Duke Divinity School, Golden Gate Baptist, Anderson School of Theology, Asbury Seminary, and Chrichton College. Sebagai seorang pastor yang bertauliah dengan Assemblies of God, Gordon Fee dikenali ramai untuk keprihatinannya yang nyata untuk pembaharuan gereja." 

Dalam satu penghormatan di lamannya, Regent College menggelarnya, "seorang rakan sekerja, pengajar, dan sahabat yang dihargai, dan pastor kepada ramai." 

Regent juga memetik seorang lagi ahli teologia, Dr. Douglas Moo, yang telah bekerja rapat dengan Fee dalam banyak isu, sebagai mengatakan, "Gordon Fee memiliki pengaruh yang besar dalam banyak aspek kesarjanaan alkitabiah dan kehidupan Kristian. Kemungkinan salah satu daripada yang paling tidak diketahui umum adalah usaha tiga puluh tahunnya dalam Jawatankuasa Penterjemahan, pasukan penterjemah yang bertanggungjawab menghasilkan New International Version of the Bible, Pembaca-pembaca Alkitab itu, yang paling meluas dibaca di kalangan Alkitab-alkitab bahasa Inggeris modern, akan menemukan cadangan terjemahannya di hampir setiap mukasurat. 

"Jika saya boleh menyebut secara lebih peribadi, saya mempunyai ingatan-ingatan mesra bagaimana Gordon mengumumkan, mengenai sesuatu hal yang kami sedang bahaskan, 'Saya tidak mempunyai minat untuk membahaskan ini' - namun kemudian seterusnya membahaskan dengan penuh bersemangat perkara itu! Kecintaannya untuk Kristus dan untuk pemahaman dan penyampaian yang tepat dari Alkitab menandakan pelayanannya kepada Tuhan." 

Isterinya, Maureen, meninggal dunia pada 2014. Mereka mempunyai empat orang anak yang sudah dewasa. tiga belas orang cucu, dan dua orang cicit (dengan dua lagi cicit bakal dilahirkan). 

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel CHVN Radio bertajuk, "Beloved American-Canadian Theologian Gordon Fee Dies At 88" yang ditulis oleh Mike Thom bertarikh 26 Oktober 2022)