Jumaat, 4 November 2022

Kesaksian: Adakah Kita Memiliki Malaikat Penjaga?


Oleh Blake Healey:

Saya telah melihat malaikat-malaikat peribadi sepanjang hidup saya. Saya tidak pernah bertemu sesiapa yang tidak memilikinya, dan jika anda fikirkan, ada ramai orang di sekeliling kita. Dan walaupun ini adalah jenis malaikat yang paling biasa saya lihat, saya sering mendapati sukar untuk menjelaskan apakah yang mereka lakukan. Malaikat-malaikat penyembahan berkait dengan penyembahan. Malaikat-malaikat pelindung berkait dengan perlindungan Tuhan ke atas kita. Malaikat-malaikat peribadi menyembah di samping kita, mempertahankan kita daripada serangan-serangan musuh, mendorong kita, bekerjasama dengan rencana-rencana Tuhan dalam hidup kita... ini sering kedengaran seperti suatu senarai tugas yang secara rambang. Itu salah satu sebabnya saya menggelar mereka malaikat-malaikat peribadi. Saya melihat mereka sedikit seperti pembantu-pembantu peribadi yang luar biasa.

Tambahan lagi, saya tidak memahami sebenarnya apakah tujuannya malaikat peribadi. Jangan salah faham, saya menghargai keberadaan mereka bersama kita, tetapi apakah tujuan mereka. Sebagai Kristian, kita semua memiliki Roh Kudus di dalam kita, Tuhan menyatakan diri-Nya hadir dalam hidup kita, dan kita boleh berbicara terus kepada-Nya. Apakah faedah tambahan yang dibawakan oleh malaikat peribadi?

Akhirnya, saya menyedari mengapa saya begitu sukar untuk mendefinisikan apa yang dilakukan oleh malaikat peribadi adalah oleh kerana sebahagian sifat Tuhan yang saya telah lupa perhatikan, umpama melupakan sebahagian tatabahasa ketika berusaha membentuk suatu ayat yang jelas.

Sebelum Kamu Lahir, Tuhan Telah Sediakan Suatu Malaikat Bagimu

Saya dan April telah berkahwin lebih dari setahun. Kami sentiasa ingin mendapat anak, dan perbualan-perbualan kami mulai kedengaran lebih seperti rancangan berbanding dengan impian. Kami ingin menunggu sehingga kami telah bernikah dua tahun, tetapi kami ingin mempunyai keluarga yang besar dan April khuatir bahawa karir lariannya mungkin menyukarkannya menjadi hamil.

Kami sedang duduk di sofa di apartmen kami apabila kami membuat keputusan itu. Kami akan mula berusaha untuk menjadi hamil. Pada detik kami bersetuju mengenai ini, suatu malaikat melangkah ke dalam bilik itu. Dia sama tinggi dengan April, berambut perang dan bermata biru yang menyenangkan, dan memakai seragam jururawat yang klasik, seperti yang terpapar dari filem Perang Dunia II, rambut disanggul, dengan topi putih kecil yang bersalib merah, seluruhnya seragam jururawat. Saya tahu April mempunyai kekhuatiran mengenai kehamilan, jadi saya  mengagak ini adalah suatu malaikat jururawat atau kesihatan, yang diutus untuk menjaganya. 

Foto Hiasan - Seragam Jururawat

Malaikat itu mengikuti April ke mana-mana dia pergi selama tiga bulan semasa kami berusaha untuk menjadi hamil. Malaikat itu melonjak-lonjak sukacita bersama kami ketika kami mendapat ujian positif pertama kehamilan. Saya akan sering melihat malaikat jururawat itu menggosok perut April yang semakin besar dengan kain yang lembut, menyisir lembut rambut April dengan jarinya ketika dia mengalami sakit sewaktu kehamilan, mengurut belakang April sambil bayi yang semakin membesar itu menambahkan tekanan ke atas tubuhnya.

Malaikat jururawat itu mengikuti April sehinggalah hari besar itu. Malaikat itu berdiri di sampingnya ketika airnya pecah. Dia menaiki kenderaan bersama kami ke hospital. Dia berada di dalam bilik pada setiap detik bersalin. Dan dia berada di situ ketika anak lelaki saya diahirkan. 

Akhirnya tiba waktu untuk doktor memeriksa April dan untuk bayi dibawa ke meja pemeriksaan bayi. Saya mengikuti bayi saya dan memperhatikan bahawa malaikat jururawat itu turut mengikuti di belakang saya. Saya berdiri di situ sejenak, merasakan rasa kecintaan berkembang di hati yang tidak pernah saya alami. Malaikat jururawat itu berdiri di sebelah saya dan merenung bayi dengan penuh perhatian seperti saya.

Malaikat jururawat itu mengikuti saya sambil saya mengiringi bayi dari bilik ke bilik untuk pelbagai ujian. Malaikat itu berdiri bersebelahan saja katil bayi yang kecil itu, sambil saya menelefon datuk saya untuk memberitahunya bahawa kami menamakan anak kami serupa namanya, Haydon. Malaikat itu mengikuti bayi itu ke segala tempat, tanpa berjauhan lebih dari selangkah atau dua di antara mereka sepanjang hari itu. 

Pada malam itu, April sedang tidur nyenyak di katil hospitalnya manakala Haydon tidur dengan aman di katil bayi yang kecil. Saya sedang berbaring di kusyen yang sepertinya telah dibentuk untuk menyebabkan sakit belakang yang berpanjangan, dengan itu saya sukar sekali untuk tidur, oleh sebab itu dan juga kerana saya terlalu teruja. 


Saya terus menerus menatap anak lelaki saya yang sedang tidur, merasakan suatu kasih yang tidak pernah saya alami yang kian bertambah setiap detik. Pada ketika itu, saya perasan malaikat jururawat itu sedang memandang Haydon dari sebelah katil. Pakaian seragam jururawatnya itu sudah tiada, dia memakai pakaian biru yang ringkas, dan rambut perangnya terurai ke atas bahu. Dia kelihatan kini lebih muda, tetapi saya tahu itu masih juga dia. Wajahnya sama, dan matanya juga sama. 

Matanya itu memandang kepada anak lelaki saya dengan penuh kasih. Saya mengenali pandangan itu. Ianya mencerminkan sepenuhnya perasaan cinta yang begitu besar yang saya rasakan. Saya pasti riak wajah malaikat itu menyerupai riak wajah saya. Itulah wajah saya ketika saya memandang anak lelaki saya yang baru lahir. Itulah wajah saya ketika memandang April. Itu adalah pandangan kasih, jenis kasih yang hanya terjadi bagi mereka yang terikat erat. 

Kebanyakan dari anda mungkin sudah meneka apa yang terjadi seterusnya, tetapi ianya benar-benar mengejutkan saya pada ketika itu. Saya memandang malaikat itu dan berkata, "Kamu bukan malaikat bersalin ataupun malaikat jururawat. Kamu adalah malaikatnya, bukan?" sambil menyendengkan kepala saya ke arah Haydon.

Malaikat itu menoleh ke atas untuk memandang saya, tersenyum, dan kemudian mengangguk, menggerakkan kepalanya sedikit dengan sikap "ya begitu." 

Soalan yang telah berkisar berkali-kali dalam kepala saya dengan segera kembali di otak. Apakah tujuannya malaikat peribadi? Apakah kepentingannya? Apakah tugas mereka?

Malaikat Haydon memandang saya, tersenyum lagi, dan kemudian menjawab.

Apabila saya mendengar para malaikat bercakap, ianya jarang sekali dalam ayat bahasa Inggeris. Saya melihat mulut mereka bergerak. Kadangkala saya mendengar suara, tetapi ianya tiada persamaan dengan mana-mana bahasa yang saya pernah dengar di Bumi. Biasanya bukan dengan mendengar kata-kata, sebaliknya segumpal pengetahuan akan memasuki fikiran saya. Saya tiba-tiba akan tahu apa yang mereka perkatakan. Ianya seperti di antara muat turun data dan perasaan yang mengenal samada suatu siri nota-nota adalah bertujuan untuk menimbulkan kesedihan atau sukacita. Ianya bukan salah satu daripada itu, tetapi seumpama itu. Oleh kerana saya mendengar dengan cara begini, saya biasanya dapat menterjemahkan apa yang saya dengar ke dalam ayat bahasa Inggeris, tetapi secara jujur, ianya terasa seperti sesuatu sudah terhilang dalam penterjemahan. Seperti mendengar puisi dalam bahasa yang bukan bahasa asalnya, maknanya ada di situ tetapi sesuatu yang bernilai tetap akan terhilang.

Saya telah berusaha mengatakan apa yang malaikat Haydon memberitahu saya dengan seratus cara yang berbeza. tetapi semuanya tidak mencapai sepertimana ianya terungkap ke dalam hati saya. Inilah cubaan saya yang keseratus satu:

Saya memikirkan lagi mengenai tujuan malaikat-malaikat peribadi, Malaikat Haydon memandang kepada saya, tersenyum, dan berkata, "Apakah salahnya dengan idea bahawa Bapa memandang elok untuk mengutus suatu peribadi yang satu-satunya tugasannya adalah untuk mengasihi kamu setiap hari dalam hidupmu?"

Jika kita ingin mengenal alam roh dengan mempelajari bahasa syurgawi, kita mesti memahami bahawa kasih adalah peraturan utama tatabahasanya. 

Malaikat-malaikat peribadi melakukan banyak hal untuk kita. Mereka berdoa untuk kita, menjaga kita dan menyokong kita - tetapi itu bukanlah tujuan mereka. Malaikat-malaikat peribadi wujud kerana Tuhan ingin setiap orang di planet ini memiliki seseorang yang tujuan tunggalnya adalah untuk mengasihi mereka dengan sesungguhnya. Segala yang mereka lakukan adalah pernyataan dari kasih itu.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "Seer In The Spirit: Do We Have Guardian Angels?" yang ditulis oleh Blake Healy bertarikh 1 November 2022)