Sabtu, 12 November 2022

Mercu Tanda Baharu - Filem "JESUS" Kini Boleh Ditonton Dalam 2,000 Bahasa Di Dunia


Filem "JESUS" telah mencapai mercu tanda yang penting: filem yang memaparkan kehidupan Yesus telah diterjemahkan ke dalam 2,000 bahasa. Josh dan Holly Newell dari Projek Filem JESUS mengumumkan berita mengujakan ini dalam video yang dipos di YouTube minggu lepas. 

"Kami ada mercu tanda baharu untuk berkongsi dengan anda," kata Josh Newell, pengarah eksekutif Projek Filem JESUS itu. "Filem JESUS kini boleh ditonton dalam 2,000 bahasa."

Isteri Josh, Holly yang memimpin Staff and Partner Care berkata, "Kami percaya jiwa-jiwa diubah apabila orang mendapat kesempatan mendengar mengenai Yesus. Jadi mercu tanda itu... bukan semata-mata suatu angka. Ianya melambangkan apa yang Tuhan telah lakukan dalam kehidupan orang-orang di sekeliling dunia apabila mereka mendapat kesempatan mendengar mengenai Yesus dalam bahasa mereka sendiri."

Filem "JESUS" Menjangkau Dunia

Filem "JESUS menceritakan kisah kehidupan Yesus berdasarkan Injil Lukas dan telah dilancarkan di pawagam Amerika Syarikat pada 1979. Filem itu telah ditaja oleh Campus Crusade for Christ, yang kini dikenali sebagai Cru, yang masih lagi menyelia pelayanan filem itu. Selepas pelancarannya, pengasas Cru, Bill Bright, "meletakkan matlamat menterjemahkan dan mengalih suarakan 'Jesus' ke dalam 163 bahasa."

"Pada penghujung 1980," kata laman web Projek Filem JESUS, "versi bahasa Hindi 'Jesus' telah ditonton oleh lebih 21 juta orang, pasukan-pasukan yang turun padang sedang menunjukkan versi Tagalog di Filipina, dan 29 bahasa lagi dengan sekurang-kurang 1 juta penuturnya telah dirakam, diadunkan dan diedarkan. Oleh kerana berkat Tuhan dan kerjasama dari banyak tempat di kalangan tubuh Kristus di sekeliling dunia, 'Jesus' telah menjadi filem yang paling banyak diterjemahkan dalam sejarah."

Projek Filem JESUS telah diasaskan sebagai pelayanan pada 1985. Menjelang 2001, filem 'JESUS' telah ditayangkan di setiap negara di dunia. Projek Filem JESUS berkata lebih 490 juta orang telah percaya kepada Yesus selepas menonton filem itu. 

Bahasa yang telah membantu Projek Filem JESUS mencapai mercu tanda terbaharunya adalah Zo, yang dipertuturkan oleh orang-orang dari Myanmar, tetapi yang juga tinggal di lain-lain tempat di dunia termasuk India dan bahagian-bahagian Bangladesh. "Alkitab yang telah dicetak dalam bahasa Zo tidak mudah diperolehi di Myanmar, dan ramai orang-orang Zo tidak tahu membaca," kata Projek Filem JESUS. "Kami berdoa terjemahan baharu 'Jesus' dalam bahasa Zo akan membuka jalan bagi orang-orang Zo mendapat akses kepada kisah Yesus dalam bentuk yang mereka dapat fahami, di manapun mereka berada."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Church Leaders, bertajuk, "An 'Amazing Milestone' - 'JESUS' Film Now Available In 2,000 Languages" yang ditulis oleh Jessica Lea bertarikh 7 Nov 2022)