Khamis, 13 Oktober 2022

Tangmo Nida - Pengebumian Selebriti Menjadi Penjangkauan Injil Terbesar Negara Thai


Selepas Pimduan "Duan" Nagaviroj mendengar mengenai nahas mati lemas Nida Patcharaveerapong yang berusia 37 tahun pada Februari lalu, dia menyertai berjuta orang Thai yang lain untuk menonton livestream (penstriman langsung) pengebumian dan penghormatan untuk pelakon wanita TV yang terkenal itu, yang lebih dikenali sebagai Tangmo Nida.

Duan yang bekerja sebagai pegawai konsul di Konsular Besar Diraja Thai di Pulau Pinang, Malaysia, terasa tertarik dengan mesej Injil dalam kebaktian peringatan selama tiga hari itu. 

"Saya memberi perhatian kepada segala yang dikatakan dan paling tertarik dengan mesej bahawa orang-orang Kristian tidak takut kematian," katanya. "Saya mempelajari bahawa Tuhan mengasihi setiap orang, dan saya mengambil keputusan bahawa saya ingin mengenali-Nya." 

Selepas malam ketiga kebaktian itu, dia menghantar mesej kepada nombor telefon gereja yang tercatit dalam penstriman langsung itu untuk mengetahui lebih mengenai Kristian, dan kakitangan gereja menggalakkannya untuk mencari sebuah gereja tempatan. Dia mengunjungi Gereja Wesley Methodist di Pulau Pinang dan mengikuti Kursus Alpha atas talian gereja itu, suatu program penginjilan. "Selepas hanya beberapa pelajaran, saya menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat saya dan saya ingin dibaptiskan," katanya.

Pengebumian Tangmo Nida mendapat liputan meluas dari media Thai

Pastor-pastor di Bangkok berkata kebaktian peringatan untuk Tangmo pada bulan Mac adalah penjangkauan penginjilan paling besar pernah diadakan di negara Thai, di mana 93 peratus daripada populasi adalah Buddhis dan hanya lebih kurang 1 peratus adalah Kristian. Manakala Tangmo telah dikenali dari kemunculannya dalam drama-drama Thai dan dari tindakan-tindakannya yang menjadi tajuk berita utama akhbar-akhbar popular dan sensasi, dia juga telah mendapat perhatian sebagai seorang Kristian yang lantang bersuara. 

Penstriman langsung kebaktian peringatan untuknya telah mendapat 12 juta tontonan, dan pastor-pastor Thai berkata selepas itu, mereka melihat pertambahan dalam pengunjung baharu yang berminat untuk mempelajari lebih mengenai Kristian. 

"Tuhan telah membuka pintu melalui kematian seorang wanita yang amat mengasihi Tuhan," kata Thongchai Pradubchananurat yang menggembalakan Church of Joy di Bangkok dan yang telah berkhutbah dalam pengebumian Tangmo. "Hidup Tangmo tidak sempurna, tetapi dia telah diselamatkan oleh Yesus."

Selebrti Yang Bertukar Menjadi Orang Kristian Yang Lantang Bersuara

Tangmo telah dilahirkan pada 1984, dan selepas ibu bapanya berpisah ketika dia masih kecil, dia telah dibesarkan  oleh ayahnya, seorang Kristian. Dia mendapat pendidikan di sebuah sekolah swasta Kristian, namun begitu dia jarang-jarang pergi ke gereja. Setelah dia mendapat tempat keempat dalam Miss Teen Thailand pada 2002, seorang penerbit TV menghubunginya mengenai lakonan, dan telah melancarkan karir dunia hiburannya. Tangmo dengan cepat mendapat pengikutan kerana lakonannya dalam drama-drama popular seperti Bangkok Love Stories 2: Innocence, Club Friday The Series dan ใบไม้ที่ปลิดปลิว (The Fallen Leaf), serta juga dalam nyanyian dan modeling.

Tangmo juga mendapat publisiti kerana perhubungannya dengan pelakon dan penyanyi, Pakin "Tono" Kumwilaisuk. Pada 2013, mereka berdua telah tinggal bersama. Apabila Tangmo menginginkan perkahwinan Kristian, kawannya mengesyorkan agar dia bertemu dengan Chatchai Charuwatee, pastor Binding Hearts Church di Bangkok.

Setelah Charuwatee berkongsi kesaksiannya dengan pasangan itu, Tono berkata dia ingin menjadi Kristian sementara Tangmo menyerahkan semula hidupnya kepada Kristus, menurut pastor itu. Charuwatee mengajar mereka Alkitab dan mengahwinkan mereka pada Disember 2013. Beberapa bulan kemudian, dia telah membaptis pasangan itu. 

Perkahwinan Tangmo dengan Tono pada 2013


Selepas itu, mereka telah menyertai sebuah kelompok sel di gereja Pradubchananurat, dan kerap menghadiri ibadah walaupun perkahwinan mereka terlerai dan berakhir dengan penceraian pada 2015. Susulan itu, Tangmo bergelut dengan depresi dan dimasukkan ke hospital kerana cubaan mengambil nyawa sendiri. Meskipun begitu, Pradubchananurat berkata Tangmo sedang "bertumbuh dalam iman Kristiannya" dan terus terlibat dalam gereja. 

Tangmo bercakap secara terbuka mengenai Kristian dalam temuramah-temuramah. Sebagai tetamu dalam rancangan TV, Disclosure pada 2017, pelakon itu mengejutkan hos rancangan apabila dia berkata bahawa dia ingin "menjadi pelayan sepenuh masa Tuhan." Dia menjelaskan bahawa dia menghadiri gereja tiga kali seminggu untuk ibadah dan kelompok kecil, dan dia telah melihat hidupnya berubah.

Pradubchananurat berkata Tangmo telah merancang untuk memasuki pelayanan sepenuh masa selepas selesai pengajian sarjana muda di kolej. Namun begitu, cuma sebulan selepas menamatkan pengajian, Tangmo meninggal dunia selepas terjatuh daripada bot laju ke dalam Sungai Chao Phraya di Bangkok.


Penjangkauan Penginjilan Terbesar Negara Thai

Kejadian penuh misteri di sekitar kematiannya menarik perhatian besar dari media dan dalam liputan pengebumiannya. Para peminatnya berspekulasi secara online samada kematiannya adalah nahas atau cubaan membunuh, mereka meneliti rakaman video, mempersoalkan samada kawan-kawan Tangmo di atas bot dapat dipercayai, dan menimbulkan kepincangan pada penjelasan pihak polis. Enam bulan selepas kematiannya, pihak pendakwa telah mendakwa enam suspek atas kecuaian yang menyebabkan kematian. 

Pradubchananurat berkata 600 ahli-ahli keluarga, sahabat-handai, para peminat dan wartawan menghadiri setiap malam kebaktian pengebumian di Liberty Church, dan penstriman langung itu telah mencapai jutaan orang-orang Thai. Orang-orang Buddhis yang tidak pernah ke gereja mendengar lagu-lagu penyembahan, khutbah-khutbah oleh Pradubchananurat dan Charuwatee, dan kesaksian kehidupan Tangmo. 

Pradubchananurat berkhutbah dari Yohanes 13:1, menyatakan bahawa tiada orang yang tahu bila mereka akan meninggalkan dunia, dan mereka harus bersiap dan menunjukkan kasih kepada orang-orang kesayangan sementara mereka masih hidup. Dia juga mengatakan mengenai "hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan" (Fil 1:21, AVB) dan bagaimana perlunya menjalani hidup yang berkenan kepada Tuhan, memberkati orang-orang lain dan memperkenalkan orang-orang lain kepada Yesus Kristus. 


Pada bulan-bulan selepas kebaktian itu, beberapa ratus pengunjung baharu mengunjungi Liberty Church. CGNTV Thailand, suatu rangkaian TV Kristian yang berpusat di Korea, berkata pada bulan Mac sahaja, 120 orang telah menghubungi mereka perihal menjadi Kristian, suatu pertambahan enam kali ganda. Beberapa buah gereja lain juga menyatakan mereka telah melihat lebih ramai pengunjung baharu selepas pengebumian itu.  

Pradubchananurat sendiri telah melihat impak kebaktian peringatan itu dalam hidupnya: apabila dia menghadiri acara pembakaran mayat kakak iparnya di sebuah tokong Buddhis tiga bulan kemudian, seorang sami memberitahunya bahawa dia suka khutbahnya. Pradubchananurat memberi kepadanya dua buku Kristian untuk dibaca. Baru-baru ini, ketika Pradubchananurat pergi untuk gunting rambut, tukang gunting rambut itu mengingatinya dari kebaktian peringatan itu, dan pastor itu menggunakan kesempatan itu untuk berkongsi mengenai Injil. 

Impak Kepada Orang-Orang Thai Di Luar Negara

Kebaktian peringatan itu juga mengubah kehidupan Sirimas Amatayakul Kuipers, juga dikenali sebagai Benz yang pada waktu ini hidup di Chicago. Benz telah mengikuti pengajian di Wattana Wittaya Academy, sebuah sekolah berasrama Kristian, di mana dia telah menyanyi lagu-lagu Kristian dan mendengar mengenai Tuhan, tetapi tidak meletakkan kepercayaannya kepada Tuhan. 

Ketika dia berusia 28 tahun, dia menerima sebuah buku berisi kesaksian beberapa selebriti Kristian Thai dan berdoa untuk menerima Yesus ke dalam hatinya. Namun begitu, seleps itu dia tidak memberitahu sesiapapun mengenai keputusannya masuk Kristian - biarpun kepada suaminya yang Kristian - dan tanpa kawan-kawan atau mentor-mentor Kristian, dia tidak bertumbuh dalam iman. 

Pastor Pradubchananurat berkhutbah dalam
kebaktian peringatan Tongma

Ketika dia mendengar mengenai kematian Tangmo, dia terkejut mendengar Pradubchananurat berkhutbah di kebaktian peringatan itu - dia adalah ayah kepada salah seorang kawan sekelasnya di Wattana. Dia menonton ketiga-tiga hari kebaktian peringatan itu. 

"Inilah kali pertama saya mendengar khutbah dalam bahasa Thai dan memahaminya," kat Benz. "Mesej-mesej itu masuk terus ke hati saya."

Dia mulai mendengar khutbah-khutbah dari Church of Joy, menyertai sebuah gereja di Chicago, dan menghubungi Pradubchananurat untuk mengikuti sebuah kelompok sel. Pastor itu menggalakkannya untuk memulakan sebuah kelompok online dengan orang-orang Thai lain yang berada di luar negara. Hari ini, kelompok itu telah bertumbuh sehingga 11 orang anggota. 

Duan di Pulau Pinang juga sebahagian daripada kelompok sel itu. Ketika ayahnya mendengar mengenai perpindahannya dari Buddhis ke Kristian, dia bimbang tiada orang yang akan melakukan pahala (atau melakukan hal-hal yang baik untuk menjamin hidup selepas maut yang lebih baik) baginya dan isterinya selepas mereka meninggal dunia. Duan meminta kawan-kawan Kristiannya untuk berdoa untuk ayahnya, dan tidak lama kemudian dia melihat ada perubahan hati pada ayahnya. Ayahnya telah membeli tiket kapalterbang ke Pulau Pinang untuk menyaksikan baptisan anaknya, walaupun dia khuatir mengenai Covid-19. Pada hari upacara itu, ayahnya tergerak sehingga mengalir air mata ketika mendengar pasukan pujian dan penyembahan berlatih. 

"Saya dulunya bersikap mementingkan diri," kata Duan. "Sekarang ayah saya telah melihat perubahan pada saya dan gembira melihat saya lebih bersabar dan bersukacita."

Duan menyatakan bahawa dia dulunya mengikuti Tangmo dalam berita dan merasa kasihan kepadanya. Tetapi kini dia mendapati temuramah-temuramah Tangmo mengenai imannya amat menginspirasikan. "Jika saya tidak menonton upacara peringatan itu, saya akan terlepas kesempatan untuk menjadi Kristian." 

(Diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Celebrity Funeral Becomes Thailand's Largest Christian Outreach" yang ditulis oleh Seree Lorgunpai dan Angela Lu Fulton bertarikh 11 Oktober 2022)