C.S. Lewis terkenal sebagai pengarang "The Chronicles of Narnia" tetapi tidak ramai orang yang mengenali kisah dalam hidup C.S. Lewis sendiri. Inilah kisahnya:
"Saya tinggi, gemuk, agak botak, dengan wajah kemerah-merahan, dagu berlapis, berambut hitam dan mempunyai suara yang dalam, dan memakai cermin mata untuk membaca," Clive Staples Lewis telah menulis kepada seorang peminat muda pada 1954. Jika pengarang yang terkenal ini cenderung memerhatikan pakaian, dia mungkin dapat menambah bahawa seluar panjangnya sering amat perlu diseterika, jaketnya usang dengan kesan carikan dan bekas makanan, kasutnya terhakis dan usang di bahagian tumit.
Tetapi "Jack" seperti yang sahabat-sahabat C.S. Lewis mengenalinya, tidak mempedulikan fesyen. Dia amat teliti mengenai penggunaan perkataan yang tepat, kualiti bukti yang digunakan dalam hujah-hujah, dan struktur yang betul dalam puisi. Dan adalah untuk buku-bukunya dan idea-ideanya, sarjana Oxford itu diperingati sebagai salah satu penulis Kristian terulung pada abad kedua puluh.
Dikelilingi Buku Sewaktu Kecil
Lewis telah dilahirkan dalam keluarga Protestan yang suka membaca di Belfast, Ireland. Dengan kesukaan akan bermacam-macam jenis buku, mereka membeli dan membaca buku-buku yang tidak "kesudahan banyaknya." "Ada buku-buku di bilik bacaan, buku-buku di bilik makan, buku-buku di bilik menggantung pakaian, buku-buku (dua lapisan) di rak buku besar di ruang lantai di antara tangga, buku-buku dalam bilik tidur, buku-buku yang dilonggok setinggi bahu saya di loteng, buku-buku yang segala jenis," Lewis mengingat kembali, dan tiada buku-buku yang dilarang kepadanya. Pada hari-hari hujan, dan ada banyak hari-hari seperti itu di utara Ireland - dia mengambil jilid demi jilid dari rak dan memasuki dunia-dunia yang diciptakan oleh pengarang-pengarang seperti Conan Doyle, E. Nesbit, Mark Twain dan Henry Wadsworth Longfellow.
C.S. Lewis sewaktu kanak-kanak |
Dan selepas satu-satunya abangnya, Warren, dihantar ke sekolah berasrama Inggeris pada 1905, Jack menjadi lebih suka menyendiri. Dia menghabiskan lebih masa dalam buku dan dunia imaginasi yang mempunyai "haiwan yang berpakaian" dan "kesateria-kesateria berbaju zirah." Tetapi dia lakukan lebih dari membaca buku, dia menulis dan juga mengilustrasi cerita-ceritanya sendiri.
Kematian ibunya akibat kanser pada 1908 menyebabkannya lebih menyendiri. Kematian Puan Lewis telah terjadi cuma tiga bulan sebelum hari jadi Jack yang kesepuluh, dan anak muda itu amat terluka oleh kepergiannya. Bukan saja dia kehilangan seorang ibu, ayahnya tidak pernah pulih sepenuhnya dari kematian ibunya. Kedua-dua adik-beradik lelaki itu berasa terasing dengan ayah mereka, dan kehidupan di rumah tidak pernah terasa mesra dan memuaskan lagi.
Kematian Puan Lewis menyakinkan Lewis yang masih kecil bahawa Tuhan yang dia temui dalam Alkitab yang diberikan oleh ibunya, adalah jika bukan kejam, adalah paling minima suatu konsep yang kabur. Pada 1911 atau 1912, dengan pengaruh tambahan seorang guru asrama yang memiliki fahaman rohani yang berbeza dari tradisi, Lewis menolak Kristian dan secara terbuka mengakui dirinya ateis.
Kehidupan di Oxford
Lewis memasuki Oxford pada 1017 sebagai seorang pelajar dan tidak pernah sesungguhnya meninggalkan tempat itu. Meskipun tergendala sebentar untuk berjuang dalam Perang Dunia 1 (di mana dia telah tercedera oleh serpihan letupan bom), dia sentiasa menjaga kediamannya dan persahabatan dengan kawan-kawannya di Oxford. Hubungannya dengan Oxford begitu kuat sehingga apabila dia mengajar di Cambridge di antara 1955 dan 1963, dia menaiki kenderaan awam balik ke Oxford pada setiap hujung minggu supaya dia berdekatan dengan persekitaran yang biasa bagi dirinya dan dengan sahabat-sahabat yang tersayang.
Pada 1919, Lewis menerbitkan sebuah buku pertamanya, sekelompok puisi bertajuk, "Spirits in Bondage," yang ditulisnya dengan nama samaran, Clive Hamilton. Pada 1924, dia telah menjadi pengajar falsafah di University College, dan pada tahun berikutnya dilantik menjadi pensyarah Magdalen College, di mana dia mengajar Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. Naskah kedua puisinya, "Dymer" juga telah diterbitkan di bawah nama samaran.
Kebangkitan Rohani
Sambil Lewis terus membaca, dia terutamanya menikmati buku-buku pengarang Kristian, George MacDonald. Suatu naskah, "Phantastes" dengan berkuasa mencabar ateismenya. "Apakah yang ianya sebenarnya melakukan kepada saya," Lewis menulis, "adalah mengubah, sehingga juga membaptis ... imaginasi saya." Buku-buku G.K. Chesterton juga telah membawa kesan yang sama, terutamanya "The Everlasting Man," yang telah membangkitkan soalan-soalan yang serius mengenai fahaman materialisme intelek muda itu.
Manakala MacDonald dan Chesterton sedang mengocak fikiran Lewis, kawan karibnya, Owen Barfield menyerang logik pada ateisme Lewis. Barfield telah bertukar dari ateisme kepada teisme, dan akhirnya kepada Kristian, dan sering menyoal Lewis berulangkali mengenai materialismenya. Begitu juga Neville Coghill, seorang rakan sekolej yang pintar dan kawan sepanjang hayat yang dianggap dengan penuh takjub oleh Lewis, "adalah seorang Kristian dan seorang yang bersungguh-sungguh percaya perkara yang luar biasa."
J.R.R. Tolkein dan C.S. Lewis menjadi sahabat karib di Magdalen College, Oxford |
Tidak lama selepas menyertai fakulti Bahasa Inggeris di Magdalen College, Lewis bertemu dua lagi Kristian, Hugo Dyson dan J.R.R. Tolkien. Kedua-dua mereka menjadi sahabat karib Lewis. Dia mengkagumi kepintaran mereka dan cara pemikiran mereka. Tidak lama selepas itu, Lewis menyedari kebanyakan kawan-kawannya, seperti pengarang-pengarang kegemarannya - MacDonald, Chesterton, Johnson, Spenser, dan Milton - berpegang kepada Kristian.
Pada 1929, semua benang itu bertemu, dan C.S. Lewis menyerah, "mengakui Tuhan adalah Tuhan, dan berlutut dan berdoa." Dalam masa kurang dua tahun lagi, lelaki yang begitu tidak rela bertukar pegangan ini juga beralih dari teisme ke Kristian dan menyertai Church of England.
Hampir serta-merta, Lewis telah bergerak ke arah baharu, kelihatan terutamanya dalam penulisannya. Usaha sebelum itu untuk menjadi penulis puisi dihentikan. Orang Kristian baharu itu mendedikasikan bakat dan tenaganya untuk menulis prosa yang mencerminkan iman baharu yang ditemuinya. Dalam masa dua tahun dia memeluk Kritsian, Lewis menerbitkan "The Pilgrim's Regress: An Allegorical Apology for Christianity,
Reason and Romanticism (1933). Naskah kecil ini telah membuka aliran 30 tahun buku-buku mengenai apologetik dan pemuridan Kristian yang menjadi usaha kesukaannya seumur hayat.
25 buku Kristian oleh Lewis telah mendapat jualan berjuta naskah termasuklah The Screwtape Letters (1942), Mere Christianity (1952), Chronicles of Narnia (1950–56), The Great Divorce (1946), and the Abolition of Man (1943), yang telah dimasukkan oleh Encyclopedia Britannica dalam koleksi Great
Books of the World.
Tetapi walaupun buku-bukunya telah menjadikannya terkenal di sekeliling dunia, Lewis adalah sentiasa terlebih dahulu seorang sarjana. Dia terus menulis sejarah dan kritikan kesusasteraan, seperti The Allegory of Love (1936), yang dianggap terbilang dalam bidangnya, dan English Literature in the Sixteenth Century (1954).
Kemasyhuran dan Kemakmuran
Menyampaikan khutbah, memberikan ucapan, dan menyuarakan pandangan-pandangan teologianya menerusi radio di serata United Kingdom telah memperkukuhkan reputasi Lewis dan meningkatkan jualan buku-bukunya. Dengan keadaan baharu ini datanglah perubahan-perubahan lain - salah satunya adalah peningkatan besar pendapatan tahunannya.
Sepanjang 1920an, Lewis telah menjalani hidup dengan kewangan yang sedikit. Sewaktu pengajiannya di kolej, ayahnya memberi kepadanya suatu elaun, dan Jack menambah kepada itu dengan pelbagai cara. Meskipun begitu, wang sentiasanya kekurangan. Dan apabila ahli akademik muda itu mengambil tanggungjawab untuk keluarga seorang kawan, kewangan sentiasa ketat walaupun dengan elaun sebagai pengajar tutorial.
Kini, dengan wang tidak lagi menjadi isu, Lewis enggan meningkatkan gaya hidupnya, dan sebaliknya telah menubuhkan suatu tabung kebajikan untuk pendapatan royaltinya. Dia telah membantu banyak keluarga-keluarga miskin, menyara yuran pendidikan bagi anak-anak yatim dan ahli-ahli seminari yang miskin, dan telah memberikan kewangan kepada pelbagai kebajikan serta pelayanan gereja.
Pertemuan Yang Tidak Disangka Dengan Joy
Dalam dekad terakhir perjalanan hidupnya, dunia Lewis telah ditawan oleh seorang wanita Amerika dan dua orang anaknya. Pada 1952, Joy Davidman Gresham, yang telah menjadi Kristian selepas membaca The Great Divorce dan The Screwtape Letters, telah datang mengunjungi mentor rohaninya di England. Tidak lama kemudian suaminya telah meninggalkannya untuk wanita lain, dan dia pun berpindah ke London dengan dua anak lelaki remajanya, David dan Douglas.
Gresham secara beransur-ansur ditimpa masalah kewangan. Persahabatannya dengan Lewis membawa kepada penyaraan Lewis untuk pengajian David dan Douglas di sekolah berasrama. Dari kebajikan dan minat kesusasteraan yang dikongsi bersama telah bertumbuh suatu persahabatan yang erat, dan akhirnya cinta. Mereka telah berkahwin pada 1956.
Joy lebih muda 16 tahun dari Lewis, tetapi itu tidak menghalang pernikahan yang bahagia. Kes barah yang serius bagaimanapun telah memendekkan pernikahan itu, kurang empat tahun selepas pernikahan. Joy begitu uzur sebelumpun pernikahan itu sehingga Lewis menggelarkannya "pernikahan di ambang maut."
Begitupun, Joy telah membawa kebahagiaan kepada Lewis. Seperti yang ditulis olehnya kepada seorang kawan sejurus selepas pernikahan mereka, "Rasanya lucu pada usia 59 tahun memiliki kebahagiaan yang kebanyakan lelaki alami pada usia dua puluhan mereka ... 'Engkau telah menyimpan air anggur yang terbaik sehingga kini.'" Dengan dirinya seorang penulis juga, pengaruh Joy ke atas apa yang dianggap oleh Lewis sebagai buku terbaiknya, Till We Have Faces (1956), begitu mendalam sehingga Lewis telah memberitahu seorang kawan rapat bahawa Joy adalah penulis bersama buku itu.
Joy dan Lewis |
Oleh itu kematian Joy, seperti kematian ibunya, adalah pukulan yang hebat kepada Lewis. Dalam bukunya, A Grief Observed, dia mengucapkan kesedihannya, kemarahannya dan keraguannya yang berlanjutan selama beberapa tahun kemudian.
C.S. Lewis meninggal dunia pada 22 November 1963 - berita kematiannya tenggelam dalam berita antarabangsa apabila Presiden Amerika, John F. Kennedy ditembak mati di Dallas pada hari yang sama sejam kemudian.
(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "C.S. Lewis")