Selasa, 14 Mac 2023

Dakwaan Sebar Kristian Cubaan Jadikan Saya ‘Punching Bag’, Kata Hannah


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas dakwaan agensi di bawah kementeriannya menjadi “Kristian Evangelist” sebagai fitnah melampau.

Beliau berkata, tuduhan itu adalah cubaan menjadikan beliau “punching bag” bagi menutup dakwaan salah laku yang dihadapi pimpinan Bersatu.

“Program (yang dinamakan Projek Artikel 11) tidak melibatkan penyertaan belia Muslim.

“Yang tuduh saya di luar…saya juga ahli DAP, saya tahu Perlembagaan Persekutuan yang iktiraf (agama) Islam. Pesanan kepada semua, berlaku adil pada rakyat dan jangan mempersenda kebijaksanaan mereka,” katanya di Dewan Rakyat.

Semalam, Yeoh membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Che’GuBard berhubung tuduhan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan menjadi “Kristian Evangelist” selepas pelantikannya.

Che’GuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin dalam catatan di Facebooknya semalam mendakwa “Projek Artikel 11” ialah aktiviti “evangelist” atau dakwah ke arah agama Kristian.

Hantaran itu mula tular dan mendapat perhatian warganet.

Dalam pada itu, Yeoh meminta pimpinan Perikatan Nasional memeriksa terlebih dahulu jika pendirian mereka sama berhubung tindakan umat Islam memasuki rumah ibadat bukan Islam.

Ini kerana, katanya, kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pada 2018 menyatakan tidak salah orang Islam masuk kuil untuk terima kalungan.

“Parti itu tak pertikai mana-mana orang Islam ke rumah ibadat, selagi tak ikut upacara itu. Islam tak haram masuk rumah ibadat. Islam agama perdamaian,” katanya.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Dakwaan Sebar Kristian Cubaan Jadikan Saya 'Punching Bag', Kata Hannah" yang ditulis oleh Mohamad Fadli bertarikh 14 Mac 2023)