Sabtu, 18 Mac 2023

'Yeoh Hormat Islam, Tak Pernah Dakwah Kristian Terhadap Saya'


Setiausaha sulit Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil mempertahankan menteri itu selepas dituduh terbabit dengan gerakan kristianisasi dan menyalahgunakan kuasa di kementeriannya.

Nor Miswary Ramli berkata, sepanjang dia mengenali serta bekerja dengan Yeoh sejak 2012, tidak pernah sekali pun pemimpin DAP itu mempengaruhinya dengan ajaran Kristian.

"Sepanjang bekerja dengan beliau, tidak pernah sekali pun beliau berdakwah atau ada kecenderungan mempengaruhi saya kepada agamanya.

“Beliau menghormati agama Islam - agama yang saya yakini sejak saya lahir - dalam setiap tindakan dan tingkah laku sehariannya,” katanya dalam catatan di Facebook

Menurut Nor Miswary, dalam tempoh seminggu ini sahaja, dua kali Yeoh menjadi mangsa fitnah jahat hanya kerana kerja-kerja yang dilakukan sebagai menteri di KBS.

"Paling memalukan, tukang fitnah tersebut adalah mereka yang mengakui beragama Islam dan orang Melayu dari parti yang kononnya memperjuangkan bangsa dan mendakwa parti mereka berlandaskan agama,” katanya.

Nor Miswary merujuk kepada program 'Jom Ziarah Gereja' yang menjadi kontroversi baru-baru ini apabila didakwa sesetengah pihak sebagai program evangelis Kristian.

Nor Miswary

Program berkenaan merupakan inisiatif di bawah 'Projek Artikel 11' diterajui Impact Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Inisiatif program ini dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan dan aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.

KBS bagaimanapun menafikan tuduhan agensi terbabit menjalankan program berkaitan ‘Kristianisasi’.

Terbaru, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed mendakwa Yeoh menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk menafikan hak negeri itu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Bagaimanapun Yeoh menjelaskan exco Kelantan bersetuju agar negeri itu menganjurkan Sukma 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang.

Dalam catatan yang sama, Nor Miswary berkata dia telah membuat laporan polis terhadap ketua pemuda PAS Kelantan itu berhubung komennya terhadap Yeoh.

"Saya mempertahankan Hannah Yeoh bukan kerana saya mahu melawan tukang fitnah yang datang dari parti PAS, tetapi saya mempertahankan Hannah Yeoh kerana beliau berhak dipertahankan.

"Saya akui, saya tidak terkecuali turut rasa terkesan melihat beliau difitnah begini.

“Derita fitnah demi fitnah, berterusan tanpa berkesudahan seperti ini, tidak ada jiwa yang mampu menanggungnya - tidak terkecuali wanita anak dua ini," katanya.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "'Yeoh Hormat Islam, Tak Pernah Dakwah Kristian Terhadap Saya'" bertarikh 18 Mac 2023)