Khamis, 15 Jun 2023

Tiada Laporan Mengenai 'Projek Cinta' Diterima, Kata Menteri Agama


PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mengetahui adanya gerakan untuk menukar agama mana-mana individu di Malaysia yang dikenali sebagai “Projek Cinta” seperti dakwaan seorang aktivis, kata kerajaan.

Menteri Agama Mohd Naim Mokhtar berkata dalam Islam, sebarang paksaan terhadap orang bukan Islam untuk memeluk agama itu adalah tidak dibenarkan.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang boleh mencetuskan fitnah, permusuhan dan suasana yang tidak harmoni dalam kalangan penganut agama di Malaysia.

Mengenai usaha dakwaan ada usaha untuk menukar agama sebilangan komuniti di negara ini, Naim berkata tiada laporan berkaitan projek tersebut diberikan kepada Jakim.

Beliau menjawab soalan Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) yang bertanya apakah benar pendedahan Mariam Mokthar baru-baru ini tentang kewujudan satu usaha sulit menukar agama tertentu di Malaysia yang dijenamakan sebagai “Projek Cinta”.

Mariam dalam satu video di YouTube mendakwa satu jabatan kerajaan menyasarkan pelajar sekolah, wanita muda, Orang Asli, ibu tunggal dan warga tua untuk menukar agama mereka kepada Islam.

Wanita itu mendakwa kes di mana keluarga Kristian menghantar anak mereka ke sekolah berasrama dan apabila pelajar itu pulang ke rumah mereka sudah memeluk agama Islam lengkap dengan MyKad.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Tiada Laporan Mengenai 'Projek Cinta' Diterima, Kata Menteri Agama" bertarikh 14 Jun 2023)