Beliau berkata input dan pandangan berkenaan akan
mencorakkan Arahan Pentadbiran yang baharu mengenai penggunaan kalimah Allah
dan ia perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja kerana raja-raja adalah
autoriti tertinggi agama dalam negara.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja dijadual bersidang pada 25 hingga
28 Okt ini.
“Apa-apa input termasuk pandangan tambahan dan sebagainya
yang diputuskan pada mesyuarat itu akan dibawa semula ke KDN untuk diteliti
sebagai panduan kepada kami untuk merangka suatu Arahan Pentadbiran yang
baharu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus KDN
Bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama, di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago
Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd
Na’im Mokhtar.
Menurutnya, lima sesi libat urus itu membabitkan cendekiawan
Islam dan asatizah; ahli akademik, sosiologi dan keselamatan awam; aktivis
dalam bidang perundangan sivil dan syariah; badan pengurusan syariah Malaysia;
dan badan pengurusan keharmonian agama.
Saifuddin berkata sesi libat urus itu dibuat susulan
keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 yang membenarkan permohonan semakan
kehakiman wanita beragama Kristian, Jill Ireland, yang memohon perisytiharan
mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam
penerbitan agama berkenaan.
“Agendanya (libat urus) ialah bagi membantu ke arah
mewujudkan satu arahan pentadbiran yang baharu ekoran daripada keputusan
Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland, yang menjadikan Arahan Pentadbiran
sebelum ini sebagai tidak boleh lagi diguna pakai," katanya.
Menurutnya, pada sesi libat urus hari ini, peserta menyuarakan
agar kerajaan mengusahakan untuk menyelesaikan isu berkaitan penggunaan kalimah
Allah itu 'once and for all' supaya tidak lagi membuka ruang kepada sebarang
elemen atau anasir yang boleh menyebabkan ketidak tenteraman ataupun ketidak
selesaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun llalu menzahirkan kegusaran berhubung isu
penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh
menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan
segera.
Al-Sultan Abdullah bertitah agar kerajaan mengharmonikan
situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada
konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah
dan kedudukan Baginda serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama
Islam.
- Bernama
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Isu Kalimah Allah Dipersembah Ke Majlis Raja-Raja Akhir Bulan Ini" bertarikh 9 Ogos 2023)