Sewaktu memandu vanku petang semalam, aku mulai menyanyi lagu-lagu pujian. Kemudian aku mulai menyanyi lagu "Lebih Dalam Lagi" ciptaan Robert dan Lea Sutanto. Lagu yang begitu indah membawa aku dalam suasana hadirat Tuhan yang terlalu indah. Hatiku berasa sungguh riang, tenang dan begitu dekat Tuhan sewaktu aku menyanyi lagu itu.
Tiba-tiba aku teringat suatu kebaktian doa yang pernah ku ikuti di Tawau sewaktu aku lebih muda. Pada malam itu, semasa pujian dan penyembahan, Pastor Susan mendapat perkataan daripada Tuhan lalu mengucapkannya dengan suara yang nyaring dan jelas;
"Aku mahu umat-Ku tahu bahawa pelayanan pertama mereka adalah untuk menyembah Aku."
"Pelayanan kedua mereka ialah untuk mengasihi satu sama lain."
Begitu jelas dan bernas perkataan Tuhan itu. Pelayanan pertama kita bukanlah melakukan itu dan ini untuk Tuhan. Pelayanan pertama kita adalah untuk datang mendekat kepada Tuhan dan menyembah-Nya! Persis seperti yang dikatakan lagu itu... "Satu hal yang kurindukan ya Tuhan, Selalu berada di dekat-Mu...."
Terlalu sering kita sibuk dalam pelbagai hal sehingga kadang-kadang kita terlupa hal yang terutama iaitu Tuhan mahu kita datang mendapatkan-Nya dalam hadirat-Nya.... Itulah panggilan dan pelayanan kita yang terutama.