Fotografi: Allesandro Della Bella/EPA |
Malam itu ialah malam berbintang. Aku sedang berehat-rehat di halaman rumah sambil menikmati keindahan alam. Pada malam itu berlakulah suatu peristiwa yang bakal mengubah seluruh hidupku….
Aku masih di sekolah rendah ketika itu. Dalam pelajaran Sejarah, aku mempelajari mengenai pelbagai agama dunia. Setiap agama itu mempunyai persamaan dan juga perbezaan sehingga membuat aku berfikir, “Yang manakah agama yang benar?”
Aku tidak dapat memutuskan jawapannya. Malah aku tidak pastipun samada Tuhan itu wujud atau tidak. Walau bagaimanapun aku dapat melupakan soal ini sehinggalah malam itu….
Aku mendongak kepala lalu memandang ke atas. Wah! Betapa indahnya permandangan di langit. Seluruh ruang angkasa dipenuhi dengan bintang-bintang yang berkerlipan indah sehingga menyerikan kegelapan malam itu. Aku kagum dan fikiranku melayang memikirkan tentang planet-planet, matahari, sistem cakerawala dan galaksi yang kupelajari di sekolah. Tiba-tiba timbul soalan di fikiranku, “Di manakah letaknya hujung pangkal semesta alam yang luas ini?”
Aku tidak tahu, malah tidak seorang manusiapun yang mengetahuinya. Semasa aku memikirkan perkara ini, ilham tiba-tiba mendatang – alam semesta ini tiada hujung pangkalnya. Ianya luas tidak terhingga!
Keluasan yang tak terhingga? Hal ini sukar difahami. Sebenarnya ianya di luar skop pengetahuan dan pemahaman akal manusia. Di saat itu, aku merasakan diriku penghuni dalam alam semesta yang begitu besar, yang keluasannya tidak dapat dibayangkan oleh manusia. Ketatatertiban alam semesta juga mengkagumkan. Pergerakan planet-planet dan tahi bintang-tahi bintang, komet Halley umpamanya begitu tetap dan teratur. Seolah-olah ada seseorang yang telah mengaturkan demikian….
Tiba-tiba aku tahu! Mesti ada Tuhan yang telah menciptakan dunia alam semesta ini. Tak mungkin alam semesta yang sistematik ini wujud begitu sahaja dengan sendirinya.
Hatiku gembira untyuk mencapai kepastian ini. Aku tahu kini bahawa Tuhan itu wujud. Dia adalah Pencipta alam semesta ini. Tapi siapakah Tuhan itu? Soalan lama yang pernah bermain di fikiranku timbul semula. Siapakah yang dapat memberitahuku kebenaran tentang Tuhan?
Aku terfikir untuk bertanya dengan ahli-ahli agama tetapi gagasan ini tidak bertahan lama di fikiran. Ini adalah kerana mereka mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang Tuhan. Lagipun mereka adalah manusia sepertiku juga, yang masing-masing perlu mencari jawapan kepada persoalan kehidupan ini.
Hatiku kecewa kerana nampaknya tiada siapa yang boleh menolongku. Aku masih tidak tahu siapakah Tuhan. Kemudian dengan tiba-tiba datanglah ilham yang sungguh bermakna sekali dalam hidupku; aku tidak tahu siapa Tuhan, tapi Tuhan tahu! Mengapakah aku tidak bertanya pada-Nya?
Wajah yang suram berubah berseri. Kekecewaan di hati terusir pergi. Ya, aku boleh bertanya kepada Tuhan. Tentu sekali Tuhan mengetahui siapa Diri-Nya sendiri. Jika Tuhan yang memberitahuku tentang Diri-Nya, aku tak perlu ragu-ragu lagi tentang kebenaran kata-kata-Nya kerana Tuhan tidak berbohong.
Aku tidak berapa tahu cara berdoa tetapi aku rasa yang lebih penting ialah keikhlasan hatiku. Di situ juga, di bawah kerlipan bintang-bintang malam itu akupun berdoa, “Tuhan semesta alam, siapakah Engkau? Tuhan, aku ingin mengenali Engkau, tak kira siapapun Engkau. Tunjukkanlah Diri-Mu kepadaku dan aku akan percaya kepada-Mu.”
Hatiku mengucapkan terima kasih kepada Tuhan. Aku berasa yakin bahawa Tuhan yang Maha Kuasa itu telah mendengar doaku. Aku yakin bahawa Ianya tentu akan mengkabulkan doaku. Aku tidaklah tahu bagaimana caranya Tuhan akan menunjukkan Diri-Nya kepadaku, yang aku tahu ialah Dia akan melakukannya.
Keyakinan dan harapanku pada-Nya ternyata tidak meleset kerana beberapa tahun selepas itu, Tuhan telah menunjukkan Diri-Nya kepadaku. Hidupku sungguh bahagia kini kerana mengenali Tuhan. Aku bersyukur sungguh pada-Nya. Sudahkah saudara mengenali Tuhan? Jika belum, mengapakah saudara tidak bertanya kepada Tuhan? Dia pasti akan menjawab saudara, jika saudara benar-benar ikhlas….