Selasa, 7 Jun 2011

Michael Chang - Rahsia Di Sebalik Kejayaan

        Tiga hari yang lalu, Li Na mencatat sejarah tenis apabila menjadi pemain pertama dari China dan Asia untuk memenangi kejohanan Grand Slam apabila menewaskan Francesca Schiavone 6-4, 7-6 (7/0) dari Itali dalam peringkat akhir perseorangan wanita Terbuka Perancis 2011. Peminat-peminat sukan Asia dan China khasnya sangat berbangga dengan pencapaian cemerlang pemain berusia 29 tahun dari Wuhan, China itu.

        Aku berada di rumah abang iparku ketika membaca berita ini dalam akhbar The Star. Keesokan harinya, aku pula terbaca dalam sebuah buku, Path To Victory di rumah ibu mertuaku tentang seorang jaguh tenis warga Amerika keturunan Asia yang juga telah menempa nama di Kejohanan Terbuka Perancis. Namanya Michael Chang, dia telah menjuarai Terbuka Perancis pada tahun 1989 pada usia 17 tahun, sekaligus mencatat sejarah sebagai pemenang perseorangan lelaki termuda Grand Slam, suatu rekod yang masih belum diatasi sehingga kini.


Michael Chang menjuarai Terbuka Perancis 1989

        Michael Chang telah dilahirkan di Hoboken, New Jersey, Amerika pada tahun 1972  kepada ibubapa keturunan Cina yang telah berhijrah ke Amerika. Seorang Kristian yang amat komited, kepercayaan Michael menjadi tumpuan apabila dia menyatakan setelah menjuarai Terbuka Perancis 1989, "Saya berterima kasih kepada Tuhan Yesus Kristus, kerana tanpa-Nya saya bukanlah apa-apa." Berikut adalah kisahnya yang telah diterjemahkan daripada buku Path To Victory

        Sebelum dia mencecah remaja, Michael Chang sudah mulai mengukir namanya dalam buku sejarah tenis, dan sejak masa itu dia telah mencerahkan namanya lebih lagi.

        Pada usia 12 tahun, dia telah memenangi Kejohanan Hardcourt Junior Kebangsaan anjuran Persatuan Tenis Amerika Syarikat.

        Pada usia 15 tahun, dia telah menambah lagi 2 gelaran kebangsaan anjuran Persatuan Tenis Amerika untuk peringkat umur 18 tahun.

        Tetapi kemenangannya yang terbesar telah datang 2 tahun kemudian apabila dia menang dalam Terbuka Perancis 1989, sekaligus menjadi Juara lelaki pertama Amerika sejak 1955 dan juara termuda dalam Kejohanan Grand Slam pada usia 17 tahun 3 bulan, mengatasi rekod muda Boris Becker, Mats Wilander dan Bjorn Borg.

        Sejak 1991 Michael telah secara konsisten mengekalkan kedudukan sebagai salah satu daripada 5 pemain terbaik dunia. Dia telah memenangi 14 kejuaraan dalam satu jangka masa yang singkat antara 1992 ke 1994. Kejuaraannya telah diperolehi di merata dunia termasuk kemenangan di Hong Kong, Atlanta, Kuala Lumpur dan Osaka. Pada 1995 dia telah mencecah garis $10 juta (Dollar Amerika) dalam perolehan kariernya. - semuanya ini sebelum harijadinya yang ke-24!

        Walaupun dia memenangi pelbagai piala, anugerah dan hadiah kewangan, yang hanya boleh diimpikan oleh peminat-peminat sukan, Michael menyatakan bahawa suatu penilaian pertengahan musim pada 1992 telah menolongnya untuk fokus kembali kepada hal-hal yang menjadi keutamaan.

        Setelah kalah dalam pusingan ketiga di Terbuka Perancis dan pada pusingan pertama di Wimbledon, Michael telah berbincang dengan ibu-bapanya, Betty dan Joe, dan abangnya Carl yang juga merupakan jurulatihnya untuk mengenalpasti mengapa dia telah bermain dengan baik sebelumnya pada awal tahun dan apakah perubahan yang harus dia buat untuk, seperti katanya, "menyertai pertandingan yang selanjutnya dan beraksi baik. Saya sangat terkesan dengan pentingnya sebuah pasukan. Pasukan saya semasa dalam jelajah pertandingan adalah abang, emak dan ayah saya.

        "Kami tidak ada membuat persiapan yang berbeda (secara fizikal) sebelum ini. tetapi dalam pertandingan-pertandingan yang sebelumnya, kami memiliki sejumlah besar kekuatan, kesatuan dan damai. Di San Francisco, Saya dan Carl telah berkumpul bersama beberapa kawannya dan mengadakan saat teduh, membaca Alkitab dan berdoa. Di Indian Wells, kami sering berdoa sebagai satu keluarga sebelum saya keluar untuk bermain. Dan di Lipton, kami sering berkumpul dengan beberapa orang lain untuk saat teduh dan berdoa pada sebelah senja atau malam," ingat Michael lagi.

       "Jadi kami membuat janji untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk memuji Tuhan, untuk fokus kepada-Nya, untuk menyembah-Nya, untuk mengucap syukur kepada-Nya dan mempelajari daripada-Nya. Kami mengambil persediaan dan mentaliti seperti itu ke Terbuka Amerika Syarikat, dan walaupun saya tidak menang, kami kembali dengan rasa kejayaan dan telah melakukan pekerjaan yang diberi oleh Tuhan.

        "Kami semua berterima kasih bahawa Tuhan telah mengajar kami pelajaran ini," tambahnya, "kerana adalah sangat sukar menguruskan semua hal dunia ini berseorangan diri, samada pertandingan tenis ataupun ujian yang susah. Tidak kira berapa besar atau kecil rupanya sesuatu perkara, adalah perlu untuk memilki satu pasukan seperti itu.  

        "Kadang-kadang apabila dalam jelajah pertandingan, saya tidak ada pasukan yang mengiringi saya, dan adalah sukar apabila tidak ada teman untuk berbicara atau apabila tidak ada orang yang boleh mengerti. Tetapi Tuhan itu selalu ada beserta saya dan menolong saya menguatkan diri dan menjadi kuat di dalam-Nya."